TREZEGUET (kanan) melarikan bola sebelum menjaringkan gol tunggal kemenangan di Stadium Antarabangsa Kaherah, awal pagi tadi. — FOTO AFP
TREZEGUET (kanan) melarikan bola sebelum menjaringkan gol tunggal kemenangan di Stadium Antarabangsa Kaherah, awal pagi tadi. — FOTO AFP
Reuters

MAHMOUD Trezeguet membantu tuan rumah Mesir menang 1-0 aksi pembukaan Piala Negara Afrika menerusi gol tunggal mengalahkan Zimbabwe awal pagi tadi.

Jaringannya pada minit ke-41 ternyata penting ketika Mesir terlepas beberapa peluang untuk mencipta impak lebih besar namun berpuas hati meraih tiga mata pertama pada kejohanan selama sebulan itu.

Penyudah Trezeguet membayangi kepulangan pemenang Liga Juara-Juara, Mohamed Salah ke Kaherah, dengan setiap sentuhannya mendapat tepukan gemuruh namun mengharungi petang yang mengecewakan kerana gagal menyempurnakan peluangnya.

Lebih 70,000 penonton yang hadir – kebanyakannya beratur panjang sejak 12 jam sebelum sepak mula untuk memasuki stadium – memastikan suasana meriah dan gegak gempita di Stadium Antarabangsa Kaherah.

SALAH (dua kiri) melakukan percubaan ke arah gol namun gagal. — FOTO Reuters
SALAH (dua kiri) melakukan percubaan ke arah gol namun gagal. — FOTO Reuters

Zimbabwe kelihatan agak tertekan ketika Mesir mencipta banyak peluang untuk mendahului.

Penjaga gol Zimbabwe, Edmore Sibanda terlalu sibuk dengan dua tindakan penyelamat dalam tempoh tiga minit pertama – kedua-duanya menumbuk bola keluar susulan percubaan menerusi tandukan.

Salah terbabit dengan gerakan menarik pada minit kesembilan yang memberikan peluang kepada Abdallah El Said untuk membuka tirai jaringan namun sekali lagi Sibanda menjadi penyelamat.

El Said kemudian merembat liar susulan peluang serupa dari jarak dekat tiga minit kemudian.

Percubaan pertama Salah hadir selepas 17 minit apabila dia meluru dari bahagian sayap namun tidak mempunyai ruang untuk merembat dan akhirnya tersasar.

Republik Demokratik Congo dan Uganda – dua lagi pasukan dalam Kumpulan A – akan bertemu pada perlawanan kedua awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 7:18 AM