WOODS sedia lupakan kepedihan di Bethpage Black. — FOTO AFP
WOODS sedia lupakan kepedihan di Bethpage Black. — FOTO AFP
AFP

TIGER Woods menegaskan dia sedia bangkit daripada kekecewaan Kejuaraan PGA apabila bertanding pada Kejohanan Memorial awal pagi esok ketika dia memburu satu lagi catatan golf.

Bekas pemain nombor satu dunia berusia 43 tahun itu terpaksa berpijak di bumi nyata pada PGA selepas kejayaannya di Masters AS, terlepas ‘cut’ sesudah dua pusingan pertama yang teruk.

Ketika Terbuka AS semakin menghampiri, Woods menambah kejohanan dihos Jack Nicklaus di Dublin, Ohio dalam jadualnya minggu ini dalam usaha mempersiapkan diri menghadapi saingan di Pebble Beach.

Pemenang 15 kejuaraan utama itu berlatih Isnin dan Selasa lalu sebelum bergandingan dengan legenda NFL, Peyton Manning pada kejohanan pro-am awal pagi tadi.

WOODS bergandingan dengan Manning pada kejohanan pro-am di Memorial. — FOTO AFP
WOODS bergandingan dengan Manning pada kejohanan pro-am di Memorial. — FOTO AFP

Selepas itu, Woods berkata, dia bersedia melupakan persembahan buruk di Bethpage Black minggu ini.

“Saya berasa lebih bagus,” kata Woods. “Saya hanya perlu bermain lebih sedikit sekarang. Harapnya ia empat hari yang mantap minggu ini menjelang Terbuka AS.”

Woods, yang kurang tiga kejuaraan utama berbanding rekod sepanjang zaman Nicklaus 18 gelaran, boleh menyamai rekod Sam Snead dengan 82 kejuaraan Jelajah PGA jika menang di Ohio hujung minggu ini.

“Untuk mencapai angka itu anda perlukan masa dan tahun yang cemerlang,” kata Woods, yang pernah menang lima kali di Memorial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 1:55 PM