Abu Bakar (kanan) sahut cabaran manakala Zainol akan letak jawatan andai PKNP turun liga. FOTO NSTP
Abu Bakar (kanan) sahut cabaran manakala Zainol akan letak jawatan andai PKNP turun liga. FOTO NSTP
Muhammad Apendy Issahak


BERBAKI tujuh lagi perlawanan Liga Super bagi musim ini, pasukan PKNP FC dilihat berada di kedudukan bahaya dengan menghuni tangga kedua tercorot yang bakal menyaksikan pasukan terbabit tergelincir ke Liga Perdana jika terus keciciran mata.

Kedudukan getir itu ternyata membuat Presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menekan butang panik mencabar kesemua pemain dan pengurusan pasukan untuk terus kekal dalam liga musim depan.

Menurutnya, cabarannya itu juga selari dengan apa dinyatakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Pengerusi PKNP FC.

"Pengerusi melontarkan cabaran jangan susahkan beliau, bagi beliau kerja senang untuk musim 2020.

"Kalau nak cari kerja susah, itu saya serah kepada pemain, apa yang saya boleh kata kalau cari jalan susah (turun liga) ini mungkin kali terakhir saya bersama PKNP FC, tahun depan tak jumpa dah mungkin presiden lain, ataupun sudah tidak ada lagi pasukan ini," katanya.

Zainol Fadzi berkata demikian ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa bersama Kelab PKNP FC di Ipoh, malam tadi.

Menurutnya, pasukan perlu berdoa dan berusaha agar impian dan hasrat Menteri Besar untuk melihat pasukan PKNP FC terus bertahan untuk musim akan datang dalam Liga Super dan tidak turun liga tercapai.

"Kalau turun ke bawah (Liga Perdana),saya dulu turun, ini cabaran saya kamu (pasukan) turun hari ini, pagi esok saya hantar surat letak jawatan, selesai masalah saya, jawab la 'kome' dengan Pengerusi PKNP FC.

Sementara itu, jurulatih Abu Bakar Fadzim menyahut cabaran itu dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya jika pasukan bimbingannya turun ke Liga Perdana musim depan.

"Ini cabaran yang adil, kerana saya sudah diberikan kuasa penuh untuk membentuk pasukan ini oleh pihak pengurusan dan akan sahut cabaran ini dalam baki tujuh perlawanan.

"Tiada alasan pada saya dan pemain, yang penting saya sebab semua perancangan daripada saya.

Gagalnya PKNP FC adalah gagalnya saya," katanya.

Abu Bakar mengakui cabaran untuk mengekalkan kedudukan dalam Liga Super yang dihadapinya dalam baki beberapa perlawanan lagi ini adalah cabaran paling getir sepanjang kariernya.

"Ini adalah cabaran antara hidup dan mati PKNP FC," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 3:51 PM