ROBERTSON (dua kanan) mengalami kecederaan betis selepas berlaga dengan Suarez. — FOTO Reuters
ROBERTSON (dua kanan) mengalami kecederaan betis selepas berlaga dengan Suarez. — FOTO Reuters
Reuters

PERTAHANAN kiri Liverpool, Andy Robertson akan menjalani ujian imbasan di betis hari ini dan berdoa kecederaan dialami ketika kemenangan sensasi ke atas Barcelona pada Liga Juara-Juara tidak menghalangnya daripada bermain pada kemuncak musim.

Robertson mengalami kecederaan itu selepas berlaga dengan penyerang Barcelona, Luis Suarez sebelum penggantinya ketika rehat Georginio Wijnaldum meledak dua gol membantu Liverpool menang 4-0 sekali gus layak ke final 4-3 secara agregat.

“Tak berasa bagus ketika ini tapi saya akan menjalani ujian imbasan esok,” kata pemain dari Scotland itu, yang melakukan 46 penampilan buat Liverpool musim ini.

“Mereka yakin ia tidak begitu teruk dan mungkin mengambil masa beberapa hari, tapi kami akan tunggu dan lihat.

Andy Robertson (kanan) berdepan pemain Barcelona, Lionel Messi dalam aksi Liga Juara-Juara minggu lalu. FOTO EPA
Andy Robertson (kanan) berdepan pemain Barcelona, Lionel Messi dalam aksi Liga Juara-Juara minggu lalu. FOTO EPA

“Kami tidak boleh memberikan komen hingga saya menjalani ujian imbasan, tapi saya akan berdoa malam ini.”

Ditanya mengenai pertembungan dengan Suarez, yang turut bertembung dengan pertahanan Scotland itu pada aksi pertama, Robertson mengambil peluang untuk mencemuh lawannya.

“Siapa layak ke final? Kami. Itu lebih penting. Gini masuk dan menjaringkan dua gol. Saya tidak kisah ketika ini.

“Saya sudah katakan beberapa kali musim ini tapi pasukan ini memang mengagumkan. Kami percaya. Orang tak percaya kami boleh mengatasi Barca. Tapi kami percaya jika bermula dengan baik, kami boleh melakukannya.”

Liverpool melayan kunjungan Wolverhampton Wanderers bagi perlawanan terakhir musim Liga Perdana Inggeris Ahad ini, memerlukan kemenangan di Anfield dan Manchester City kalah di Brighton untuk merangkul kejuaraan.

Juara Eropah lima kali itu akan berdepan Ajax Amsterdam atau Tottenham Hotspur pada final Liga Juara-Juara di Madrid pada 1 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 11:31 AM