NORZA (tengah)  ketika masyuarat Agung Tahunan 2019 BAM di Stadium Axiata, Bukit Jalil.
NORZA (tengah) ketika masyuarat Agung Tahunan 2019 BAM di Stadium Axiata, Bukit Jalil.
Ferzalfie Fauzi


KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria menegaskan sesuatu perlu dilakukan segera dalam corak latihan pemain negara termasuk mengadakan tiga sesi latihan sehari selepas prestasi tidak memuaskan pada Terbuka Malaysia.

Menurutnya, dalam menghadapi persaingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula Mei ini, skuad negara tidak boleh hanya menumpukan kepada sistem latihan sedia ada.

“Saya berpendapat keputusan di Terbuka Malaysia tidak memuaskan. Kami perlu lihat semula kaedah latihan dan mesti ubah dengan rejim latihan. Kalau sekarang ada dua sesi mungkin selepas ini terpaksa mengadakan lebih daripada itu,” katanya pada mesyuarat ahli majlis BAM di Arena Axiata, semalam.

Ujarnya, perubahan itu masih lagi dalam peringkat perbincangan dan pemain juga mungkin akan berada di bawah satu bumbung dalam tempoh terdekat bukannya hanya tunggu kelayakan Olimpik bermula.

“Kami kini bukannya memikirkan masalah pemain bersedia atau tidak (dengan perubahan itu). Kami mempunyai impian dan tidak mahu gigit jari apabila bercakap mengenai Olimpik.

“Pemain mesti ambil cabaran ini begitu juga dengan jurulatih. Kalau tidak ubah cara, orang lain boleh berlari 120 kilometer melakukan tiga atau empat sesi latihan, kita yang hanya 50 kilometer hanya buat dua sesi latihan, bayangkan apa akan terjadi dengan perjalanan kita ke Olimpik,” katanya.

Tegas Norza, dengan cita-cita itu termasuk sokongan kerajaan dan penaja, jika tidak menyahut cabaran dan tidak bekerja keras Malaysia akan ketinggalan.

Dalam pada itu, Norza juga meminta peminat badminton bersabar dengan prestasi yang dipamerkan pemain muda negara pada kejohanan besar.

“Kami dalam proses untuk melonjakkan pemain muda, jadi kami harus memberi peluang kepada mereka. Memang ada naik turun, ia sebahagian daripada proses untuk mereka stabil.

“Kami juga memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi pada kejohanan besar,” jelas Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 8:30 AM