KHAIRUL Idham menang perlumbaan Moto3 di Litar Termas de Rio Hondo tiga tahun lalu. — FOTO Luqman Hakim Zubir
KHAIRUL Idham menang perlumbaan Moto3 di Litar Termas de Rio Hondo tiga tahun lalu. — FOTO Luqman Hakim Zubir
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA Moto2 negara, Khairul Idham Pawi memperoleh suntikan semangat untuk mengharungi saingan musim ini apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix Argentina di kedudukan ke-13 sekali gus mengutip tiga mata.

Ia pungutan mata pertamanya bersama PETRONAS Sprinta Racing bagi musim ketiganya dalam kategori Moto2.

Meskipun hanya tiga mata, kejayaan itu memberi makna cukup besar buat Khairul atau Super KIP selepas hanya bermula di petak ke-25.

“Perkara paling positif catatan masa saya semakin baik di setiap pusingan dan dapat mengurangkan jarak masa dengan kelompok depan.

GARDNER (kiri) meraikan kejayaan bersama pemenang Lorenzo Baldassarri dari Itali di podium. — FOTO AFP
GARDNER (kiri) meraikan kejayaan bersama pemenang Lorenzo Baldassarri dari Itali di podium. — FOTO AFP

“Kami sudah mencapai sasaran untuk memungut mata pertama musim ini. Jadi sudah tentu saya amat berpuas hati dengan pencapaian ini,” katanya.

Sementara itu, pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah turut mempamerkan tunggangan cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16 selepas bermula di petak ke-21.

Walaupun terlepas peluang mengutip mata, Hafizh yang beraksi bersama Red Bull KTM Tech 3 dilihat lebih meyakinkan di Argentina berbanding pusingan pertama di Qatar yang menyaksikan catatan masanya jauh ketinggalan di belakang.

Sementara itu, Remy Gardner menghadiahkan podium kedua untuk pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing. ONEXOX TKKR adalah penaja utama dari Malaysia.

“Sudah lama saya menantikan detik ini. Terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras menyediakan jentera terbaik untuk saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 10:44 AM