JARINGAN Lucas (kanan) gagal membantu Spurs menentang Liverpool di Anfield, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
JARINGAN Lucas (kanan) gagal membantu Spurs menentang Liverpool di Anfield, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino bangga dengan apa yang dipanggil pasukan wiranya di sebalik kalah 1-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris di tangan Liverpool, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, pengendali dari Argentina itu mengakui kemerosotan prestasi Spurs akhir-akhir ini mendedahkan “realiti” kedudukan sebenar pasukannya dalam kancah bola sepak Inggeris.

Tottenham kini terikat mata dengan pasukan tangga keempat Manchester United – selepas jauh meninggalkan lawan 13 mata Disember lalu – dan dalam saingan sengit untuk meraih tempat ke Liga Juara-Juara.

Gol sendiri Toby Alderweireld pada minit ke-90 merampas satu mata daripada Spurs pada perlawanan yang boleh dimenangi menentang Liverpool yang mendahului dua mata di depan Manchester City di puncak namun beraksi lebih satu perlawanan.

PENYERANG Spurs, Harry Kane (kiri) meraikan gol bersama Lucas. — FOTO Reuters
PENYERANG Spurs, Harry Kane (kiri) meraikan gol bersama Lucas. — FOTO Reuters

“Secara keseluruhan saya fikir kami lebih bagus berbanding Liverpool. Saya amat kecewa tapi pada masa sama, ia sukar untuk dijelaskan, saya amat bangga dengan persembahan mereka,” kata Pochettino.

“Saya bangga dengan pemulihan susulan kekalahan di tangan Southampton dan Burnley.

“Kami banyak bercakap dalam bilik persalinan bahawa kami di kelompok empat teratas, kami di suku akhir Liga Juara-Juara, kami mempunyai baki tujuh perlawanan Liga Perdana, kami perlu lupakan semua dan fokus terhadap perlawanan berikutnya,” katanya.

“Pemain saya semuanya wira dan berhak menerima pujian. Apa pun yang berlaku hujung musim ini, saya akan tetap gembira kerana pemain saya semuanya wira.”

Spurs akan merasmikan stadium baru mereka menentang Crystal Palace bagi aksi Liga Perdana awal pagi Khamis ini dan menerima kunjungan Manchester City pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara, pertengahan minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 7:57 AM