AKSI  Hafizul  menyelamatkan sepakan penalti pemain  Kitchee SC  di Stadium Perak. -  FOTO  Effendy Rashid
AKSI Hafizul menyelamatkan sepakan penalti pemain Kitchee SC di Stadium Perak. - FOTO Effendy Rashid
Mohd Hafizee Mohd Arop

JUARA Piala Malaysia 2018, Perak membuktikan kewibawaan mereka apabila melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menewaskan wakil Hong Kong, Kitchee SC dalam perlawanan yang diheret sehingga ke penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Dalam perlawanan dramatik yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh malam ini, penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim muncul wira apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti pasukan pelawat sekali gus membolehkan Perak menang 6-5.

Skuad bimbingan Mehmet Durakovic mempamerkan penguasaan pada separuh masa pertama dengan asakan bertali arus ke kubu lawan dan pada minit ke-13 hantaran lintang Mohd Nor Hakim Hassan ditanduk Gilmar sebelum Wander Luiz Bitencourt Junior yang tidak dikawal menolak bola ke gawang lawan untuk gol pertama tuan rumah.

Bermula babak kedua, anak buah Alex Chu Chi Kwong cuba memperkemaskan permainan namun tersentak apabila pemain pertahanan mereka, Matthew Smith dilayangkan kad merah pada minit ke-49 selepas menerima dua kad kuning.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Kitchee SC enggan mengalah apabila melakukan beberapa percubaan bahaya ke kubu tuan rumah namun Hafizul tangkas mengawal gawang.

Bagaimanapun pemain gantian Kitchee SC, Li Ngai Hoi berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-86 sekali gus mengheret permainan ke masa tambahan namun tiada jaringan dihasilkan.

Hafizul muncul wira pasukan dengan menyelamatkan dua sepakan penalti pelawat sekaligus membolehkan Perak mara ke pusingan ketiga ACL menentang wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 12:51 AM