Penjaga gol PKNP FC menghalang percubaan Jayee John Okwunwanne (kanan) untuk menjaringkan gol pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tun Abdul Razak, malam tadi. FOTO BERNAMA
Penjaga gol PKNP FC menghalang percubaan Jayee John Okwunwanne (kanan) untuk menjaringkan gol pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tun Abdul Razak, malam tadi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

FELDA United nyaris tewas di laman sendiri sebelum berjaya mengikat PKNP FC 1-1 Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, malam tadi.

Sebaik perlawanan bermula, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan berhati-hati sebelum mula merencanakan serangan untuk menembusi benteng pertahanan lawan.

FELDA United yang dinaikkan pangkat beraksi dalam Liga Super selepas menjuarai Liga Perdana musim lalu, mempunyai peluang untuk membuka jaringan pada minit ke-21, namun rembatan pemain import Brazil Jocinei Schad berjaya ditangkap kemas penjaga gol pelawat, Amar Asyraaf Omar.

PKNP FC yang tampak selesa meskipun bermain di gelanggang lawan berjaya meledak gol pembukaan perlawanan pada minit ke-36 selepas pemain import dari Ghana, Thomas Abbey menanduk masuk hantaran Muhammad Fadhil Idris dan kedudukan 1-0 kekal sehingga babak pertama berakhir.

Bersambung separuh masa kedua, PKNP FC yang tewas pada aksi pembukaan minggu lalu hampir menambah jaringan pada minit ke-64 namun rembatan kencang Yashir Armando Pinto sekadar menggegar tiang gol.

Empat minit berselang, tuan rumah berjaya meledak gol penyamaan menerusi sepakan percuma Muhammad Hadin Azman sekali gus menyaksikan keputusan seri 1-1 kekal sehingga wisel penamat.

FELDA United kini menghuni kedudukan keenam liga dengan dua mata, sementara PKNP FC kekal di tangga tercorot dengan hanya satu mata selepas dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 12:41 AM