LAPORTE (tiga dari kanan) menjaringkan gol pertama City pada masa kecederaan babak pertama. - FOTO AFP
LAPORTE (tiga dari kanan) menjaringkan gol pertama City pada masa kecederaan babak pertama. - FOTO AFP
Reuters

JUARA bertahan Manchester City merampas semula tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 ke atas Everton di Liverpool, awal pagi tadi.

Kedua-dua City dan Liverpool mengumpul 62 mata, namun City lebih unggul secara perbezaan gol, sekalipun beraksi lebih satu perlawanan berbanding pasukan kendalian Juergen Klopp.

Ia kali pertama City kembali ke puncak liga sejak 8 Disember lalu. Liverpool berdepan Bournemouth Sabtu ini manakala City melayan kunjungan Chelsea sehari kemudian.

Perlawanan itu dijadualkan semula kerana kemaraan City ke final Piala Liga Inggeris dan pelawat mendahului pada masa kecederaan babak pertama apabila pertahanan Perancis, Aymeric Laporte menanduk masuk sepakan percuma David Silva dari sebelah kiri.

Gol itu jaringan ke-17 dilepaskan Everton menerusi ‘set-piece’ dalam semua pertandingan musim ini.

Dua pemain gantian City bergabung bagi gol kedua pada masa kecederaan dengan Kevin De Bruyne bersama Gabriel Jesus di bahagian serangan.

Sekalipun sepakan pemain Brazil itu ditampan penjaga gol Everton, Jordan Pickford, dia bingkas menanduk masuk bola muntah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 7:27 AM