Sandro Wagner
Sandro Wagner
AFP

SHANGHAI: Penyerang Bayern Munich, Sandro Wagner menyertai kelab Liga Super China, Tianjin Teda hari ini dengan bayaran perpindahan dilaporkan kira-kira 5 juta euro (RM23 juta).

Semakin ramai pemain meninggalkan Eropah untuk ke China dan menerima gaji lebih lumayan, sekalipun pihak berkuasa bola sepak China cuba menyekat pasaran perpindahan.

Penyerang pasukan kebangsaan Jerman berusia 31 tahun itu hanya memulakan satu aksi buat juara Bundesliga, Bayern musim ini dan gagal berada dalam skuad bagi dua perlawanan terakhir.

Wagner menyertai Bayern dari Hoffenheim dengan harga 13 juta euro (RM61 juta) Januari lalu sebagai pelapis kepada Robert Lewandowski.

Teda dan Bayern mengumumkan secara serentak perpindahan Wagner itu dalam pos ringkas media sosial.

Media China menyatakan Teda membayar kira-kira 5 juta euro terhadap penyerang itu, sekalipun akhbar harian Jerman, Bild melaporkan sebelum ini Bayern mahukan lebih lagi.

Kelab China itu dilatih Uli Stielike, bekas pemain Jerman Barat yang memenangi Kejohanan Eropah 1980.

Teda bergelut dalam CSL akhir-akhir ini dan berakhir di atas zon penyingkiran musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 9:22 PM