PEMAIN Perlis, Mohd Zafuan Azeman (kiri) sertai Pulau Pinang. FOTO Hafizudin Mohd Safar
PEMAIN Perlis, Mohd Zafuan Azeman (kiri) sertai Pulau Pinang. FOTO Hafizudin Mohd Safar
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) mengambil keputusan melepaskan pemain skuad Bawah 19 tahun kebangsaan, Muhammad Zafuan Azeman selepas mencapai kata sepakat dengan pemain berkenaan.

PFA dalam satu kenyataan memaklumkan, Muhammad Zafuan akan dilepaskan kepada pasukan Pulau Pinang secara serta-merta, atas persetujuan bersama kedua-dua pihak tanpa sebarang syarat.

"Langkah ini diambil kerana Muhammad Zafuan memerlukan lebih banyak peluang bermain untuk merealisasikan impian beraksi di luar negara pada masa depan," jelas PFA.

Pemain kelahiran Kangar itu sebelum ini dilaporkan menandatangani kontrak dengan PFA pada awal bulan ini, namun netizen mendakwa dia beraksi dengan pasukan Pulau Pinang pada satu aksi persahabatan, baru-baru ini.

Muhammad Zafuan sebelum ini menjalani latihan percubaan selama dua bulan dengan kelab Serie B, Venezia FC selama dua minggu, namun mengambil keputusan kembali ke tanah air kerana kelab Itali berkenaan dikatakan tidak memberi jawapan balas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 7:54 PM