PEMAIN tenis Russia, Maria Sharapova. FOTO AFP
PEMAIN tenis Russia, Maria Sharapova. FOTO AFP
AFP

MELBOURNE: Pemenang lima gelaran Grand Slam, Maria Sharapova mengejutkan juara bertahan Caroline Wozniacki untuk layak ke pusingan keempat Terbuka Australia hari ini selepas satu perlawanan epik tiga set.

Pemain Russia itu, pilihan ke-30 di Melbourne Park, menyingkirkan pemain nombor tiga dunia dari Denmark 6-4, 4-6, 6-3 untuk meraih kemenangan terbesarnya sejak kembali daripada penggantungan doping pada 2017.

Kemenangan itu membantu Maria, 31, menempah pertembungan pusingan 16 terakhir dengan pemain harapan tuan rumah, Ashleigh Barty. Maria menang kejuaraan di Melbourne Park pada 2008 dan layak ke final tiga kali.

“Saya sedar saya akan berdepan perlawanan yang amat sukar kerana dia juara bertahan dan bukan rahsia dia sukakan gelanggang ini,” kata Maria selepas mengejutkan Caroline.

“Saya tidak bermain banyak perlawanan tahun lalu, terutama menentang pemain ternama tapi kali ini saya memang bersedia dengan latihan mencukupi, jadi amat berbaloi untuk menang.”

Ada beberapa saat dramatik dalam pertarungan antara dua bekas pemain nombor satu dunia itu namun Maria lebih mencuri tumpuan apabila dia bangkit daripada ketinggalan 1-4 sebelum menang lima ‘game’ berturut-turut sekali gus memenangi set pertama.

Maria memenangi kejuaraan terakhir Grand Slam di Roland Garros pada 2014 namun bergelut untuk menyertai kelompok pemain elit sejak melengkapkan penggantungan 15 bulan kerana gagal ujian dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 6:15 PM