CAROLINE WOZNIACKI
CAROLINE WOZNIACKI
AFP

SINGAPURA: Caroline Wozniacki menghidupkan semula peluang untuk mempertahankan gelaran Final WTA dengan mempamerkan aksi menarik ketika menentang Petra Kvitova semalam sekali gus meletakkan kempen juara Wimbledon di Singapura berada dalam keadaan bahaya.

Bangkit daripada kekalahan mengecewakan ketika menentang Karolina Pliskova, Caroline memadam duka itu dengan menewaskan Petra 7-5, 3-6, 6-2 dalam tempoh dua jam 19 minit.

Petra kini sudah melakar dua kekalahan dalam kedua-dua perlawanannya tetapi dia masih bertahan dalam Kumpulan Putih selepas Elina Svitolina menewaskan Karolina Pliskova dalam tiga set permainan.

Elina yang masih belum ditewaskan berada di posisi utama untuk layak ke separuh akhir, hanya memerlukan satu set kemenangan pada perlawanan akhir menentang Caroline, esok.

Petra mengadunkan corak kekuatan dimilikinya dengan sentuhan menarik tetapi mudah dipatahkan dengan serangan balas Caroline.

Pemain Denmark itu baharu pulih daripada kecederaan, dengan menyaksikan dia memerlukan tampalan di lutut kiri pada awal set kedua sebelum menunjukkan semangat pada set ketiga untuk menewaskan Petra.

“Ia adalah patella, ia menyakitkan saya,” kata Caroline. “Ia sesuatu yang saya hadapi sebelum ini dan kadangkala saya bergelut dengannya selama bertahun-tahun. (Tampalan) membantu saya hari ini.”

Petra berkata, perlawanan panjang itu menjadikannya berada dalam keletihan. “Saya letih ketika ini... lebih letih berbanding selepas perlawanan pertama saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 8:13 AM