MENTERI Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman melakukan pemeriksaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil yang akan menjalani kerja-kerja baik pulih bermula 11 Februari depan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
MENTERI Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman melakukan pemeriksaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil yang akan menjalani kerja-kerja baik pulih bermula 11 Februari depan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi amaran tidak mahu masalah kerosakan dua padang Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil berulang lagi pada masa depan selepas melalui kerja baik pulih.

“Saya tak nak nanti bila dah baik pulih satu tahun, masalah sama berulang.

“Tapi pihak pembekal berjanji mereka akan mengadakan latihan khusus kepada kakitangan PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) supaya mereka dapat melakukan kerja penyelenggaraan dengan baik dan mengelak perkara ini daripada berulang.

“Selepas berbincang dengan pembekal, kerajaan tidak perlu mengeluarkan kos untuk kerja baik pulih stadium ini. Mereka (pembekal) sendiri akan membiayai setiap kos,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan dua padang di stadium itu yang mengalami kerosakan dan akan ditutup bermula 11 Februari hingga 31 Mac depan untuk kerja baik pulih.

Jelas Syed Saddiq, pemantauan lebih rapi akan dilakukan ke atas gelanggang lain di bawah Bandar Sukan Kuala Lumpur.

“Sekarang kami sedang lakukan penilaian di setiap gelanggang di Bandar Sukan KL khususnya yang sering digunakan oleh atlet.

“Sebelum sebarang masalah timbul, kami perlu mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Sukan NSTP sebelum ini melaporkan kerosakan dua padang di stadium itu terutama Padang 2 yang menyebabkan ia tidak dapat digunakan bagi saingan Piala Tan Sri P Alagendra bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 8:33 PM