MOHD Yusoff Mahadi. FOTO arkib NSTP
MOHD Yusoff Mahadi. FOTO arkib NSTP
Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius lambakan ejen haram yang kini jelas menguasai pasaran pemain bola sepak tempatan dengan berpuluh kes dicatatkan oleh badan induk itu terutamanya membabitkan pemain import.

Meskipun sudah diperkenalkan Sistem Perantara pada 2017, hakikatnya tidak ramai ejen tampil berdaftar secara sah dengan rekod terkini menyaksikan hanya 10 ejen tempatan dan dua ejen luar yang berada dalam senarai FAM.

Ternyata, jumlah kecil ejen pemain yang berdaftar itu jelas menggambarkan senario tidak sihat dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) yang menunjukkan perbandingan cukup jauh dengan bilangan pemain import kira-kira 108 pemain dan tempatan 612 orang.

Lantas, kehadiran 'tetamu tidak diundang' ini bukan saja boleh 'lesap' pada bila-bila masa andai permasalahan berlaku khususnya membabitkan kontrak pemain dengan pasukan.

Malah, terdapat kes di mana pasukan enggan membayar tuntutan pemain kerana masalah kontrak tidak seperti yang dijanjikan oleh ejen sekali gus mengundang masalah hingga terpaksa dibawa ke pengetahuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan mencalar imej liga tempatan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, sudah tiba masanya buat badan induk itu bertindak lebih tegas dalam menangani isu berkenaan.

Jelas beliau, FAM bersedia untuk memperkenalkan peraturan baharu dengan mewajibkan semua pasukan untuk mendaftarkan tonggak import mereka dengan bukti sokongan melalui ejen yang sah sahaja.

"Dulu ketika Sistem Perantara diperkenalkan, kita hanya sekadar menghantar notis kepada semua ejen supaya mendaftar di bawah FAM. Notis juga diberikan kepada pasukan supaya hanya berurusan dengan ejen sah saja.

"Tapi bila kebanyakan pasukan tidak mengendahkan dan hanya nak pilih jalan mudah berurusan dengan ejen haram, banyak masalah yang timbul. Kita memandang serius hal ini dan saya fikir sudah tiba masanya kita wujudkan peraturan baharu dengan semua pasukan wajib mendaftarkan pemain menerusi ejen sah yang berdaftar bawah FAM.

"Jika pasukan tidak ikut peraturan itu, kita tidak akan benarkan pemain import itu beraksi. Apapun, saya akan semak dengan bahagian undang-undang FAM mengenai perkara ini dan kalau ia dibenarkan, kita akan bawa dalam mesyuarat FAM dan MFL nanti," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Katanya lagi, isu ini tidak boleh dibiarkan kerana adalah tidak adil buat mereka yang mengeluarkan duit untuk mendapatkan lesen manakala ejen lain pula 'lepas tangan'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 6:09 PM