ISCO
ISCO
Agensi

MADRID: Bintang Real Madrid yang disisihkan, Isco tidak berhasrat berhijrah pada jendela perpindahan bulan depan walaupun gagal mendapat perhatian pengendali baru kelab, Santiago Solari. 

Penampilan terakhir Isco di La Liga adalah ketika dimalukan Barcelona 5-1 pada 28 Oktober iaitu aksi terakhir kendalian Julen Lopetegui.

Sejak itu, Isco hanya dua kali berada dalam kesebelasan utama Madrid iaitu ketika membelasah kelab kerdil, Melilla 6-1 dalam kancah Copa del Rey dan kekalahan mengejut 3-0 di laman sendiri kepada CSKA Moscow di Liga Juara-Juara.

Solari berulang kali menegaskan beliau tidak mempunyai masalah dengan Isco dan memandang tinggi pemainnya itu.

Namun tercetus spekulasi pemain berkenaan akan berpindah sekiranya situasi tidak berubah dalam masa terdekat walaupun dia menafikannya.

"Saya tidak berfikir untuk berhijrah pada jendela perpindahan," kata pemain antarabangsa Sepanyol itu.

"Saya sangat gembira, impian saya adalah memenangi seberapa banyak kejuaraan bersama Real Madrid."

Madrid akan menentang Villarreal pada awal pagi Jumaat apabila La Liga kembali bersambung selepas rehat pertengahan musim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 12:33 PM