PENGARAH Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin. FOTO Hafiz Sohaimi
PENGARAH Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin. FOTO Hafiz Sohaimi
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: Belum ada keputusan berhubung cadangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk membawa masuk jurulatih dari Amerika Syarikat (AS).

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, setakat ini pihaknya belum menerima permohonan KOM berhubung perkara itu.

Menurutnya, badan induk itu perlu memberi cadangan sebelum perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja yang akan berlangsung bulan depan.

"MSN meminta cadangan kepada KOM siapakah jurulatih dari luar dan hingga sekarang belum ada maklum balas daripada badan induk itu.

"KOM perlu memaklumkan siapakah jurulatih yang diinginkan mereka kerana mereka adalah badan yang bertanggungjawab dan patut tahu calon sesuai," katanya.

Terdahulu, Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim memaklumkan pihaknya berminat mendapatkan khidmat bekas atlet lompat pagar AS, David Patrick untuk dilantik sebagai ketua jurulatih.

Patrick, 58, adalah calon di kedudukan teratas yang sedang diteliti oleh KOM, dengan kejayaannya di dalam dua disiplin sukan, lari lompat pagar dan pecut semasa zaman kegemilangannya di penghujung 1980 hingga awal 1990-an.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak dipersetujui jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yang menyifatkan adalah lebih baik menghantar atlet berlatih AS.

Menurutnya, ia akan memberi satu suasana dan persaingan yang lebih sengit kepada atlet meningkatkan prestasi berbanding melantik jurulatih luar datang ke negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 6:02 PM