LEWIS HAMILTON
LEWIS HAMILTON
Agensi

LONDON: Cabaran Lewis Hamilton untuk mempertahankan kejuaraan dunia boleh dijangkakan daripada beberapa pelumba seperti rakan sepasukan di Mercedes-Vallteri Bottas, Charles Leclerc (Ferrari) dan Max Verstappen (Red Bull Honda).

Namun di sebalik semua nama itu, Hamilton kekal percaya seteru utamanya bagi musim depan adalah Sebastian Vettel dari Ferrari. Vettel satu-satunya pemandu yang tidak menggunakan jentera Mercedes dilihat sering memberi cabaran untuk kejuaraan dunia sejak 2014.

Dia menamatkan saingan di belakang Hamilton sejak dua musim lalu manakala pada 2015 – tahun pertama bersama Ferrari, pemandu Jerman itu satu-satunya pemandu selain Hamilton serta bekas rakan sepasukannya, Nico Rosberg yang mampu memenangi perlumbaan.

Vettel mendahului Hamilton untuk kejuaraan pemandu pada musim ini selepas memenangi perlumbaan di Silverstone, Julai lalu.

Bagaimanapun dia gagal menamatkan perlumbaan di Grand Prix Jerman sekali gus bermulanya detik kejatuhan apabila hanya mampu melakar satu kemenangan daripada baki 11 perlumbaan selepas itu.

Di sebalik semua itu, Hamilton tetap berpendapat Vettel adalah pemandu yang perlu diberi perhatian pada tahun depan.

“Saya rasakan ia masih kekal Vettel,” kata Hamilton ketika ditanya siapakah yang bakal menjadi seteru utamanya tahun depan sebelum menambah: “Begitu juga dengan Bottas.”

Namun Hamilton tidak menidakkan cabaran daripada pemandu lain terutamanya pasukan Red Bull yang bakal menggunakan jentera Honda.

“Mereka mempunyai kereta yang bagus dan nampak cukup meyakinkan pada hujung musim ini. Mereka akan menggunakan enjin baru tahun depan.

“Adakah ia mampu memberi cabaran kepada kami? Saya harapkannya begitu kerana ia pasti menarik apabila Red Bull dapat menyaingi kami pada setiap perlumbaan.

“Apapun masih banyak yang perlu dilakukan dan saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 11:01 AM