HAMILTON (dua kanan) meraikan kemenangan bersama Vettel (kiri) dan Raikkonen (kanan) di Litar Budapest, Hungary, hari ini. FOTO Reuters
HAMILTON (dua kanan) meraikan kemenangan bersama Vettel (kiri) dan Raikkonen (kanan) di Litar Budapest, Hungary, hari ini. FOTO Reuters

BUDAPEST: Lewis Hamilton merekodkan kemenangan kelima musim ini selepas mengungguli perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Hungary, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan pemandu Mercedes berkenaan kini semakin selesa mendahului carta kejuaraan dunia dengan kelebihan 24 mata ke atas pencabar utama dari Ferrari, Sebastian Vettel.

Juara dunia itu memastikan kemenangan miliknya apabila mengatasi Vettel yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan kelebihan 17.123 saat selepas pemandu Jerman berkenaan terbabit dengan kemalangan bersama rakan sepasukan Hamilton, Valteri Bottas.

Seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen menamatkan saingan di tempat ketiga - podium kelima berturut-turut - mengatasi pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo yang bermula di petak ke-12 tetapi berjaya meraih tempat keempat.

Kejuaraan Hamilton di Hungary adalah yang keenam buat dirinya, kelima musim ini dan 67 keseluruhan sepanjang kerjayanya.

“Kami hadir di sini dengan menyedari Ferrari akan menjadi pasukan terpantas minggu ini. Namun, dengan kejayaan kami capai hari ini, ia sudah pastinya bonus untuk kami,” kata Hamilton selepas tamat perlumbaan.

“Ia hari yang menakjubkan dan penonton juga cukup luar biasa. Seluruh pasukan melaksanakan tugas dengan menakjubkan.”

Hamilton ketika ini mengumpul 213 mata, mengatasi Vettel dengan kelebihan 24 mata selepas mengharungi 12 daripada 21 perlumbaan musim ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 11:52 PM