ROONEY mahu pemain United supaya menunjukkan rasa lebih hormat terhadap kelab bermasalah itu.
ROONEY mahu pemain United supaya menunjukkan rasa lebih hormat terhadap kelab bermasalah itu.
AFP

LONDON: Wayne Rooney menggesa pemain bintang kurang menyerlah Manchester United supaya menunjukkan rasa lebih hormat terhadap kelab bermasalah itu.

United menghuni tangga kelapan Liga Perdana Inggeris dan bermula hambar dalam kempen Liga Juara-Juara.

Kemenangan 2-1 ke atas Everton Ahad lalu tidak meredakan ketegangan di sekitar Old Trafford, dengan masa depan pengurus United, Jose Mourinho masih tidak menentu susulan persembahan kurang memberangsangkan yang menyaksikan pemain utama gagal mempamerkan aksi konsisten.

Mourinho bertelagah dengan pemain bintang United termasuk Paul Pogba, Luke Shaw, Alexis Sanchez dan Anthony Martial.

Rooney, yang muncul penjaring gol terbanyak United sebelum meninggalkan kelab itu pada 2017, percaya pemain bintang bergaji besar perlu bermain dengan bangga dan sepenuh hati tidak kira apa sekalipun isu mereka dengan Mourinho.

Dalam satu temu ramah dengan Football Focus, yang disiarkan dalam laman web BBC Sport, penyerang Dc United, Rooney berkata: “Jelas mereka melalui tempoh sukar ketika ini, tapi Jose Mourinho seorang yang amat berpengalaman dan saya fikir sesetengah pemain perlu bertindak lebih baik.

“Menerusi pengalaman, saya tidak pernah melihat atau mendengar seorang pemain tidak mahu beraksi kerana mereka bertelagah dengan pengurus.

“Saya tidak fikir sebagai pemain anda boleh melakukannya, anda perlu hormat kepada kelab dan penyokong begitu juga rakan sepasukan anda.

“Saya tidak fikir mana-mana pemain, terutamanya di Manchester United, tidak mahu beraksi buat Jose, saya pasti mereka bekerja keras untuk meraih keputusan diingini.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 5:14 PM