ANTARA riaksi penyokong pasukan Terengganu pada Perlawanan akhir piala Malaysia diantara pasukan Terengganu dan Pasukan Perak di Stadium Shah Alam. FOTO/SYARAFIQ ABD SAMAD
ANTARA riaksi penyokong pasukan Terengganu pada Perlawanan akhir piala Malaysia diantara pasukan Terengganu dan Pasukan Perak di Stadium Shah Alam. FOTO/SYARAFIQ ABD SAMAD
Ruwaida Md Zain


SHAH ALAM: Hujan lebat selama lebih sejam sejak jam 3 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan sekitar Stadium Shah Alam dinaiki air separas keting.

Keadaan itu menyebabkan berpuluh kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta berhampiran sebuah masjid berdekatan stadium itu dinaiki air kira-kira 30 sentimeter.

Keadaan itu menyebabkan ada penyokong pasukan bola sepak yang datang untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak memuat naik beberapa gambar ke laman sosial.

Beberapa akaun media sosial termasuk Terengganu11 turut memuat naik beberapa gambar dan klip video banjir kilat dan hujan lebat berkenaan.

Akaun Facebook milik Deejay Nesh juga memuat naik gambar padang dalam Stadium Shah Alam yang digenangi air selepas hujan lebat lebih sejam itu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad ketika dihubungi berkata, hujan turun dengan lebat sekitar jam 3 petang tadi menyebabkan berlaku banjir kilat di beberapa kawasan tempat letak kereta Stadium Shah Alam.

"Namun ketika ini hujan sudah berhenti dan keadaan kembali sedia kala manakala banjir kilat juga sudah surut. Pasukan PANTAS MBSA juga bergegas ke lokasi berkenaan untuk memantau keadaan," katanya.

Sementara itu, tinjauan NSTP di kawasan berkenaan kira-kira jam 7 malam tadi mendapati air sudah surut dan aktiviti di sekitar kawasan berkenaan berjalan seperti biasa. Peniaga yang ditemui menyatakan mereka turut terjejas dengan hujan lebat dan banjir kilat berkenaan kerana ia berlaku dengan pantas.

Roslan Ayed, 50, dan Rafi Gulamyasin, 43, yang datang dari Pantai Dalam berkata, ini kali pertama mereka berdepan keadaan berkenaan sejak mula berniaga aksesori pasukan di mana-mana stadium yang mengadakan perlawanan.

Roslan berkata, kebanyakan mafla, jersi, kain ikat kepala pasukan Terengganu dan Perak yang dijualnya habis basah ditimpa hujan dan terendam banjir kilat itu.

"Hujan lebat tidak sampai 20 minit air terus naik dan kami tidak sempat menyelamatkan barang-barang perniagaan serta khemah.

"Angin kuat juga meniup khemah kami dan jika kami memilih untuk menyelamatkan barang-barang, khemah yang akan terbang.

"Nasib baik, ada penyokong dari Terengganu yang melalui kawasan ini untuk ke stadium membantu memegang tiang khemah supaya tidak ditiup angin," katanya.

Roslan berkata, ekoran kejadian itu beliau berdua mengalami kerugian kira-kira RM2,000 kerana ramai peminat yang singgah tidak membeli barangan yang sudah basah.

Bagaimanapun, Roslan berkata, beliau akan terus berniaga sehingga tamat perlawanan malam ini.

Pada masa sama, katanya, ekoran kedudukan khemah mereka berdekatan dengan parit besar di situ, banyak sampah sarap yang dibawa banjir kilat, tertinggal berdekatan tempat mereka berniaga selepas air surut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 8:19 PM