MOLINARI (kanan) dan Fleetwood pamer aksi mantap untuk bantu skuad Eropah mendahului skuad Amerika Syarikat. -Foto Reuters
MOLINARI (kanan) dan Fleetwood pamer aksi mantap untuk bantu skuad Eropah mendahului skuad Amerika Syarikat. -Foto Reuters
AFP

PARIS: Tommy Fleetwood dan Francesco Molinari melonjak Eropah pada kedudukan baik apabila memenangi empat perlawanan mereka sekali gus membantu tuan rumah mendahului 10-6 ke atas Amerika Syarikat menjelang hari terakhir golf Piala Ryder.

Pemain rookie Piala Ryder, Fleetwood dan Molinari muncul gandingan pertama Eropah merangkul empat mata daripada empat perlawanan pertama mereka, mencetus dua kekalahan buat Tiger Woods dalam acara fourballs dan foursomes di lapangan Le Golf National, semalam.

Mereka muncul gandingan kedua mencatat 4-0 dalam kejohanan berpasukan itu sejak 1979, menyertai dua pemain AS, Larry Nelson dan Lanny Wadkins yang meraih pencapaian itu di The Greenbrier.

Selepas menang 4 & 3 ke atas Woods dan Patrick Reed dalam acara fourballs pada sebelah pagi, Fleetwood dan Molinari menumpaskan pemenang 14 kejohanan utama itu dan Bryson DeChambeau 5 & 4 dalam foursomes.

“Kami terlalu bagus, amat bagus petang ini,” kata Fleetwood. “Kami bermain dengan mantap, kami beraksi dengan bagus. Satu sejarah yang kami cipta bersama, ia amat istimewa.”

Molinari, juara Terbuka British yang tidak menang dalam dua penampilan Piala Ryder sebelum ini - pada 2010 dan 2012, memberi amaran tugas pasukan diketuai Thomas Bjorn itu belum berakhir menjelang 12 perlawanan perseorangan hari ini.

“Kami hadir di sini untuk melaksanakan tugas dan bukan untuk melakar rekod atau seumpamanya, ia mengenai pasukan, ia mengenai untuk mendapatkan 14 1/2 mata,” kata pemain Itali itu.

“Kami semakin hampir, tapi 4 1/2 mata itu amat diperlukan esok, kami perlu bekerja keras untuk meraihnya.”

Tiada seorang pun pemain Eropah meraih lima mata daripada lima perlawanan dalam sejarah Piala Ryder dengan trio AS, Arnold Palmer, Gardner Dickinson (kedua-duanya pada 1969) dan Nelson (1979) muncul pemain yang melakukan catatan itu.

Bjorn, penolong kapten pasukan Eropah bagi ‘Keajaiban di Medinah’ pada 2012, sedar pasukannya tidak boleh berasa santai di sebalik mendahului dengan agak selesa.

“Sejarah membuktikan kepada saya dan setiap orang dalam pasukan ini bahawa ia belum berakhir,” jelas pemain Denmark itu.

“Kami perlu bermati-matian esok. Turun ke lapangan dan melakukan perkara yang betul dan ia tidak berakhir hingga anda mendapat mata mencukupi.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 9:41 AM