GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

KUALA LUMPUR: Selepas menerima kritikan susulan kenyataan tidak dapat menyiarkan kejohanan berprestij Liga Juara-Juara musim ini, Astro akhirnya mengesahkan persetujuan sudah dicapai untuk menyiarkan perlawanan itu bermula tengah malam ini.

Menerusi kenyataan di Twitter Astro Awani, Ketua Sukan Astro, Lee Choong Khay berkata, pihaknya berbesar hati menyampaikan berita gembira bahawa musim Liga Juara-Juara UEFA akan bermula di Astro malam ini.

Katanya, perlawanan secara langsung itu boleh diikuti di kaca televisyen atau Astro Go.  

Sebelum ini, peminat bola sepak tempatan berang apabila sumber tontonan utama itu mengesahkan tidak akan menyiarkan perlawanan berkenaan.

Stesen televisyen berbayar negara itu berkata mereka tidak dapat menyiarkan perlawanan berkenaan berikutan masalah hak penyiaran.

Perlawanan pertama peringkat kumpulan Liga Juara-Juara akan bermula jam 12.55 tengah malam ini yang menemukan gergasi Sepanyol, Barcelona dan PSV Eindhoven di Nou Camp manakala wakil Inggeris, Tottenham Hotspur membuat kunjungan ke Giuseppe Meazza bertemu Inter Milan.

Perlawanan berikutnya pada jam 3 pagi di antara Club Brugge melawan Borrusia Dortmund, Schalke 04 bertemu Porto, Monaco menentang Atletico Madrid, Liverpool membuat perhitungan dengan Paris Saint Germain, Red Star Belgrade melawan Napoli dan Galatasaray menentang Lokomotiv Moscow.

Berita berkaitan

Peminat UCL pasti kecewa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 9:30 PM