JURULATIH skuad Harimau Malaysia, Tan Cheng Hoe. FOTO Iqmal Haqim Rosman
JURULATIH skuad Harimau Malaysia, Tan Cheng Hoe. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Zulfaizan Mansor


AKSI persahabatan berdepan Taiwan di Stadium Perbandaran Taipei, Taipei Citi, esok menjadi misi ‘serampang dua mata’ buat jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Ia kerana perlawanan itu bukan saja menjadi medan persiapan untuk Piala AFF Suzuki hujung tahun ini, malah Cheng Hoe turut mengintai peluang memperbaiki kedudukan Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Apapun, ia bukan tugas mudah buat Cheng Hoe apabila berdepan Taiwan yang menduduki ke-125 dunia, 46 anak tangga di depan Malaysia.

Justeru, Cheng Hoe menuntut anak buahnya untuk tidak memandang mudah kemampuan skuad kendalian Gary White itu, sebaliknya menganggap ia lebih daripada aksi persahabatan.

“Kami tahu Taiwan pasukan mantap dan satu negara memiliki budaya bola sepak. Jadi tuan rumah juga bakal mendapat sokongan penyokong mereka yang akan memenuhi ruang stadium.

“Taiwan mempunyai pemain yang bagus dalam skuad kebangsaan mereka selain ditambah dengan pemain naturalisasi.

“Apapun kami akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan (untuk memperbaiki ranking Harimau Malaya),” katanya, hari ini.

Selepas berdepan Taiwan, anak buah Cheng Hoe akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan antarabangsa berdepan Kemboja di Phnom Penh, Isnin ini.

Cheng Hoe berdepan sedikit masalah untuk mengharungi dua aksi persahabatan itu susulan terpaksa melepaskan Norshahrul Idlan Talaha kerana urusan keluarga, sekali gus hanya meninggalkan Zaquan Adha Abd Radzak, Shahrel Fikri Fauzi dan Kogileswaran Raj di bahagian serangan.

Harimau Malaya juga bakal mengharungi tiga lagi aksi persahabatan berdepan Sri Lanka dan Kyrgyzstan pada 12 dan 16 Oktober depan sebelum menentang Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 6:19 PM