NORZA menegaskan MOM mendapat pengajaran berguna susulan kegagalan atlet kategori B menyerlah pada Sukan Asia 2018.
NORZA menegaskan MOM mendapat pengajaran berguna susulan kegagalan atlet kategori B menyerlah pada Sukan Asia 2018.
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengakui mendapat pengajaran berguna susulan kegagalan atlet kategori B menyerlah pada Sukan Asia 2018.

Ia diakui Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas hanya dua daripada 241 atlet kategori B meraih pingat pada temasya edisi ke-18 itu.

Lebih diburukkan dengan isu atlet papan selaju dalam kategori B, Fatin Syahirah Roszizi apabila aksinya di Palembang mendapat kecaman dalam media sosial.

“Apabila melakukan proses pemilihan, kami diberikan komitmen berdasarkan keputusan dicapai (atlet) bahawa mereka layak, namun selepas melihat perkembangan di Sukan Asia, ada antara persatuan sukan kebangsaan (NSA) terutama dalam kategori B tidak memberikan penerangan baik atau adil kepada kami.

“Niat utama kami memberi peluang kepada atlet sukan tertentu yang tidak pernah berpeluang beraksi di pentas sebesar ini,” katanya.

Tegasnya, ‘pisang tidak akan berbuah dua kali’ dengan pemilihan kategori B akan diperketatkan pada masa akan datang.

“Prosedur SOP pemilihan kategori B perlu dijelaskan. Contohnya bagi kategori A kami meletakkan syarat untuk kedudukan empat teratas di Asia, namun kategori B boleh dilonggarkan kepada enam teratas di Asia.

“Malah, selepas ini kami mahukan pertandingan diiktiraf sebagai ukuran, bukan yang tidak disertai ramai peserta.

“Kami belajar daripada perkara ini dan akan mengambil iktibar pada masa depan,” katanya.

Dua atlet dalam kategori B yang mendapat pingat adalah Qabil Ambak Mahamad Fathil (perak acara dressage) dan pesilat Kelas C (55-60kg), Hazim Azmad yang meraih gangsa.

Justeru, MOM akan membayar kos mereka di Sukan Asia 2018 iaitu tiket penerbangan dan bayaran penginapan.

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) diberikan pujian apabila memberikan sasaran yang tepat dan jujur apabila mencapai kedudukan kelima terbaik seperti dimaklumkan kepada MOM.

Sementara itu, Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Rabu ini akan melihat secara terperinci program latihan dan kewibawaan jurulatih badan induk itu.

“Kami harus lakukan perubahan untuk membaiki keadaan sebelum Sukan Olimpik 2020. Istora Senayan bukan mudah kerana China, Jepun, Korea Selatan turut tumbang, namun kami bukan mahu memberikan alasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 4:47 PM