ALEXANDER ZVEREV
ALEXANDER ZVEREV
AFP

WASHINGTON: Pemain nombor tiga dunia Alexander Zverev memulakan usaha mempertahankan kejuaraan pada kejohanan gelanggang keras ATP, edisi ke-50 Terbuka Washington minggu ini.

Pemain Jerman berusia 21 tahun itu berharap mengulangi kejayaan tahun lalu apabila dia menewaskan pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson pada final di Washington dan kemudian menundukkan Roger Federer seminggu kemudian pada final Terbuka Kanada.

“Washington satu persiapan sempurna bagi Toronto dan Cincinnati,” kata Zverev, yang mahu bersiap sedia menjelang Terbuka AS.

“Saya sudah berlatih dengan baik selama dua minggu. Ia bagaikan rehat luar musim buat saya, hanya bekerja keras untuk bersiap sedia menghadapi kejohanan gelanggang keras.”

Zverev diletakkan sebagai pilihan utama bagi kejohanan di Washington di depan pemain ranking kesembilan, John Isner, yang tampil dengan pencapaian terbaik dalam acara Grand Slam apabila layak ke separuh akhir Wimbledon dan kejuaraan ke-14 karier ATP di Atlanta minggu lalu.

Senarai juara Washington termasuk pemain legenda Arthur Ashe, Ken Rosewall, Jimmy Connors, Ivan Lendl dan Andre Agassi.

“Kejohanan ini mempunyai senarai juara hebat,” kata Zverev. “Saya bangga menjadi sebahagian daripadanya dan saya akan melakukan yang terbaik untuk menang sekali lagi.”

Zverev memburu kejuaraan kesembilan ATP dan ketiga tahun ini. Dia mempertahankan kejuaraan gelanggang tanah liat di Munich dan kalah kepada Rafael Nadal pada final di Madrid.

“Kami pemain muda, kami perlu melepasi banyak perkara kali pertama,” kata Zverev. “Saya sudah melepasi peringkat itu banyak kali.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 8:04 AM