SEU Bock, Pang Cheh Chang dan Paulus Firman ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas bagi menyertai Kejohanan Badminton Dunia di Nanjing, China. FOTO Bernama
SEU Bock, Pang Cheh Chang dan Paulus Firman ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas bagi menyertai Kejohanan Badminton Dunia di Nanjing, China. FOTO Bernama
Fabian Peter


KETUA jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock berkata dua anak didiknya, Goh Jin Wei dan Soniia Cheah mampu menghasilkan keputusan positif jika mereka percaya dengan kemampuan diri sendiri.

 Walaupun undian tampak sukar buat kedua-dua pemain berkenaan, Seu Bock berharap mereka mampu melakar satu atau dua kejutan.

 Bekas juara remaja dunia, Jin wei akan membuka tirai saingan menentang pemain Taiwan, Pai Yu Po di pusingan pertama, Isnin ini dan jika menang dia dijangka bertemu pilihan ke-14 dari Jepun, Aya Ohari di pusingan kedua.

 Soniia pula akan bertemu pemain Belanda, Gayle Mahulette di pusingan pertama sebelum dijangka berdepan pemain ke-17 dunia, Sayaka Sato dari Jepun jika layak ke pusingan seterusnya.

 Seu Bock yang diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita sejak Julai tahun lalu berharap sekurang-kurangnya salah seorang daripada anak didiknya mampu layak ke pusingan 16 terbaik.

 "Berdasarkan undian, ia memang sukar untuk mereka tetapi saya kenal pemain saya dan saya tahu kemampuan mereka. Mereka ada kualiti untuk melakar kejutan ke atas pemain utama dunia.

 "Jin Wei sudah membuktikannya apabila dia menewaskan pemain Korea Selatan, Sung Ji Hyun yang menghuni ranking nombor sembilan dunia di Terbuka Malaysia dan pemain China, He Bingjiao (nombor tujuh dunia) di Piala Uber.

 "Namun, masalah utama mereka adalah konsistensi. Ini adalah disebabkan mereka tidak percaya kemampuan diri mereka sepenuhnya. Mereka tidak lihat mereka mampu melangkah jauh dalam kejohanan.

 "Sebenarnya, mereka lebih baik daripada itu. Saya gembira jika mereka dapat melakar kejutan ke atas pemain utama di Nanjing. Ia akan meningkatkan tahap keyakinan mereka," kata Seu Bock.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 10:37 PM