IZAD terpaksa lupakan Sukan Asia demi pulihkan lutut kanannya. FOTO/IZAD
IZAD terpaksa lupakan Sukan Asia demi pulihkan lutut kanannya. FOTO/IZAD
Saiful Affendy Sapran


PEMAIN pertahanan skuad hoki negara, Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin sedia untuk ‘mengorbankan’ Sukan Asia di Jakarta bulan depan demi memastikan proses pemulihan kecederaannya berjalan lancar.

Izad sudah hampir tujuh bulan tidak beraksi pada perlawanan kompetitif selepas ditimpa kecederaan posterior cruciate ligament (PCL) di lutut kanan yang dialami ketika saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), Januari lalu.

Justeru, pemain berusia 25 tahun itu sedia melepaskan impian untuk tidak beraksi di temasya berkenaan jika itu pilihan terbaik bagi membolehkan kecederaannya itu pulih sepenuhnya.

“Pada awalnya memang saya letak sasaran untuk membuat penampilan semula di Sukan Asia.

“Tapi apabila fikir semula, kalau tak terpilih (ke Sukan Asia) pun tak apa. Sebab saya lebih memikirkan jangka panjang,” katanya.

Bagaimanapun, Izad yang hampir pulih sepenuhnya daripada kecederaan itu berkata, dia akan cuba memastikan dapat terpilih ke siri perlawanan persahabatan di Australia bermula 21 Julai ini kerana ia akan menjadi medan terakhir untuk ketua jurulatih, Stephen Van Huizen memilih barisan 18 pemain terbaik ke Jakarta.

“Saya tetap akan cuba bersaing untuk ke Australia. Kalau tak dapat bermakna peluang mungkin sukar untuk terpilih ke Sukan Asia.

“Memang agak kecewa jika tidak dapat beraksi di Sukan Asia. Tapi seperti yang saya katakan, saya mahu melalui proses pemulihan sepenuhnya,” katanya.

Sukan Asia menjadi tugas penting untuk Malaysian Tigers yang diletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas bagi membolehkan mereka meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas kali terakhir melakukan penampilan di temasya terbesar dunia itu di Sydney 2000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 12:35 AM