Jurulatih England, Gareth Southgate sedang memerhatikan pemainnya melakukan sesi latihan. Foto AFP
Jurulatih England, Gareth Southgate sedang memerhatikan pemainnya melakukan sesi latihan. Foto AFP
AFP

ENGLAND mungkin menampilkan barisan pemain muda pada kempen Piala Dunia kali ini, tetapi rekod kegagalan mereka dalam penentuan penalti bukan sesuatu yang mudah untuk dilupakan.

Penalti boleh dianggap badi buat skuad The Three Lions dalam enam daripada 12 kejohanan utama terakhir dan sepanjang tempoh itu, mereka hanya memenanginya sekali iaitu ketika menentang Sepanyol pada Euro 1996.

Jurulatih England, Gareth Southgate ketika bertindak selaku pemain turut mengalami nasib malang apabila berdepan penentuan penalti yang mana sepakannya digagalkan Andres Kopke ketika England tewas di tangan Jerman dalam aksi separuh akhir di Wembley.

"Selama beberapa dekad saya masih memikirkannya," kata Southgate.

Bagaimanapun, pengalaman itu pasti membantunya sebagai jurulatih menjelang pertembungan dengan Colombia dalam aksi pusingan 16 terbaik awal pagi Rabu ini dengan penentuan penalti kembali bermain di fikirannya.

Southgate turut berada dalam skuad Piala Dunia 1998 di bawah kendalian Glenn Hoddle percaya penentuan penalti adalah loteri dan mustahil untuk diterapkan dalam latihan sekaligus tidak berbaloi untuk melakukan latihan.

England ketika itu tewas kepada Argentina menerusi penentuan penalti sekaligus gagal mara ke suku akhir.

"Sudah pasti ia bukan peluang," kata Marcus Rashford ketika ditemui di pangkalan England di Repino.

"Ia adalah kemahiran dan setiap kemahiran memerlukan masa untuk belajar dan menjadikannya sempurna. Ia tidak pernah menjadi peluang, ia bergantung sama ada kita mampu mengatasi tekanan ketika itu."

England menjalani latihan penalti sejak Mac dengan Southgate turut menunjukkan rakaman video bagi membuat analisis kepada pemainnya.

Beliau juga menggunakan pendekatan psychometric dalam menentukan siapa yang layak untuk melakukan sepakan.

Penjaga gol The Three Lion, Jordan Pickford berjaya menyelamatkan lima daripada 30 sepakan penalti ketika perlawanan.

Ia adalah rekod yang hampir sama dengan dua lagi penjaga gol, Jack Butland (menyelamatkan empat daripada 25 sepakan penalti), manakala Nick Pope (menyelamatkan tiga daripada 13 sepakan penalti).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 7:58 AM