KEHADIRAN penyokong ke stadium mampu lonjak semangat TRW. FOTO/FAIL
KEHADIRAN penyokong ke stadium mampu lonjak semangat TRW. FOTO/FAIL
Attirmidzie Rahman


KELANTAN mahu mengembalikan semula keyakinan penyokong terhadap pasukan itu dengan memastikan episod kekalahan berakhir pada pertemuan dengan Perak di Stadium Perak, malam esok.

Pemain tengah muda Kelantan, Danial Haqim Draman, berkata pasukan itu masih berupaya untuk kembali bangkit daripada episod kekalahan jika persiapan mental dan fizikal dilakukan penuh rapi.

“Untuk perlawanan malam esok sebagai pemain pasukan saya mahu mengembalikan keyakinan penyokong terhadap pasukan ini dengan memastikan kemenangan diperolehi pasukan.

“Persiapan rapi dari segi mental dan fizikal amat perlu susulan keputusan pada beberapa perlawanan lalu dan saya serta semua rakan pasukan perlu melupakan apa yang sudah berlaku dan kembali membina kekuatan pasukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perlawanan lalu ketika melayan kunjungan PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kelantan dilihat mendominasi perlawanan tetapi gagal mewujudkan sentuhan penyudah yang sempurna bagi menghasilkan jaringan.

Perlawanan itu sekaligus menyaksikan Kelantan sekali lagi gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dan dihukum dengan kekalahan 0-2 oleh anak buah Datuk K Rajagobal.

Mengulas mengenainya, Danial bagaimanapun mengakui pasukan itu masih bergelut untuk menyempurnakan hantaran ke bahagian serangan yang menyebabkan banyak peluang disia-siakan.

“Mungkin itu satu punca pasukan kurang menyengat namun pada perlawanan seterusnya semua pemain perlu lebih bekerja keras dan mengatasi perkara terbabit.

“Selain itu pemain juga perlu tangani kesilapan mudah dan mengelakkan ia daripada berlaku dalam perlawanan malam esok.

“Bagaimanapun, pemain harus melupakan kekalahan lepas dan memberi 100 peratus komitmen untuk perlawanan malam esok bagi memungut tiga mata yang berharga buat pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 1:11 PM