PEKERMAN yakin Falcao akan terus berbisa untuk ledak gol. FOTO/AFP
PEKERMAN yakin Falcao akan terus berbisa untuk ledak gol. FOTO/AFP
AFP

KAZAN: Jurulatih Colombia, Jose Pekerman percaya Radamel Falcao akan membawa lebih banyak kejayaan selepas bintangnya itu meledak gol pertamanya dalam Piala Dunia ketika menumbangkan Poland 3-0, hari ini.

“Saya rasa ini adalah antara kejayaan paling gembira yang kita alami malam ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai betapa pentingnya jaringan Falcao buat pasukan itu.

Falcao, 32, diketepikan di Brazil empat tahun lalu selepas mengalami kecederaan lutut serius ketika beraksi bersama Monaco menentang kelab amatur di Piala Perancis.

Falcao sudah mengimpikan untuk menjaringkan gol di Piala Dunia sejak dari kecil dan selepas tidak beraksi di Brazil, seluruh Colombia mendoakan pemain dengan gelaran ‘El Tigre’ itu supaya menyengat di pentas tertinggi bola sepak dunia di Russia.

Selepas pertahanan Barcelona, Yerry Mina memecah kebuntuan menerusi tandukan deras pada minit ke-40, Falcao tidak mensia-siakan peluang apabila tenang menyudahkan hantaran Juan Quintero untuk menewaskan Wojciech Szczesny pada minit ke-70.

Pekerman berkata ‘dia adalah simbol buat pasukan ini, simbol bola sepak Colombia.

“Kami sentiasa mengharapkan supaya dia dapat menjaringkan gol dan sentiasa cergas seperti perlawanan hari ini. Kami mahu membantunya sebagai sebuah pasukan agar dia dapat menunjukkan kemahirannya dan menyerlah.

“Saya berpendapat dia meledak gol yang begitu penting bukan sahaja untuk aksi hari ini tetap untuk perlawanan akan datang.”

Pemain sayap Juventus, Juan Cuadrado melengkapkan malam bergaya buat Los Cafeteros apabila mencetak gol ketiga pada minit ke-75 selepas menyambut hantaran James Rodriguez yang mengatasi kesakitan di bahagian betis untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

Colombia kini perlu menewaskan Senegal pada aksi terakhir peringkat kumpulan bagi menempah tiket ke pusingan 16 terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 8:10 AM