ROJO anggap pasukannya kali ini lebih bersedia berbanding pada aksi kelayakan. FOTO/AFP
ROJO anggap pasukannya kali ini lebih bersedia berbanding pada aksi kelayakan. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Marcos Rojo mahu merasakan pengalaman menjulang Piala Dunia berbanding penderitaan dialaminya bersama Argentina apabila mereka tumpas 0-1 kepada Jerman selepas masa tambahan pada 2014, katanya semalam.

Pertahanan Manchester United berusia 28 tahun itu, yang sudah mewakili La Albiceleste sebanyak 50 kali, memberitahu majalah Inside United dia mengharapkan Argentina bertindak lebih baik berbanding ketika bergelut pada pusingan kelayakan.

Rojo, menandatangani kontrak baru bersama United Mac lalu yang menyaksikannya kekal di kelab itu hingga 2021, akan berdepan Nigeria pada peringkat kumpulan, pasukan yang mana dia menjaringkan gol pertama antarabangsa pada pusingan akhir 2014.

“Jelas, ia amat penting dan satu perkara besar buat mana-mana warga Argentina menyarung jersi itu,” katanya.

“Kami memberikan segala-galanya apabila kami menyarungnya dan kami mahu menebus semula apa yang berlaku pada Piala Dunia sebelum ini.

“Kami akan bertindak habis-habisan untuk memungkinkan penyokong kami meraikan kejayaan memenangi trofi itu sekali lagi.”

Rojo, menyertai United pada 2014 dengan harga £16 juta (RM85 juta) dari kelab Portugal, Sporting Lisbon berkata, ia banyak bergantung kepada bintang mereka Lionel Messi.

Messi sudah menang semua piala di peringkat kelab bersama Barcelona namun masih belum menjulang Copa America atau Piala Dunia sesudah kalah dalam tiga final Copa dan final Piala Dunia 2014.

“Saya fikir sudah tiga atau empat kali kami diundi bersama Nigeria dan ia satu kumpulan sukar,” kata Rojo.

“Croatia dan Iceland turut berada dalam kumpulan kami. Harapnya Lionel Messi berada di kemuncak prestasi dan boleh melakukan sesuatu buat kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 9:34 AM