PEMAIN Nice, Mario Balotelli dilaporkan diintai Napoli. FOTO AFP
PEMAIN Nice, Mario Balotelli dilaporkan diintai Napoli. FOTO AFP
AFP

PENYERANG Nice, Mario Balotelli dikaitkan dengan perpindahan ke Napoli sejurus pelantikan jurulatih baharu, Carlo Ancelotti.

Kontrak penyerang berusia 27 tahun bersama kelab Ligue 1 itu akan tamat pada bulan depan dengan dia sudah memberi petunjuk untuk berpindah.

Naib juara Serie A Itali, Napoli dilaporkan berminat kerana mereka dijangka kehilangan penyerang, Dries Mertens dan kapten pasukan, Marek Hamsik musim depan.

Dan kelab itu menghangatkan spekulasi dengan mula mengikuti Instagram penyerang kontroversi itu.

Balotelli sering dikaitkan dengan perpindahan ke bandar selatan Itali itu selepas anak perempuannya, Pia tinggal di Naples bersama bekas teman wanitanya, Raffaella Fico.

Kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund, finalis Liga Europa, Marseille, dan satu lagi kelab Itali, AS Roma juga dikatakan berminat, menurut laporan media Itali.

Balotelli mengembalikan kegemilangan kariernya sejak menyertai Nice pada 2016 selepas tempoh kurang memberangsangkan bersama AC Milan dan Liverpool apabila meledak 26 gol dalam semua kejohanan musim ini.

Dia menerima panggilan pertamanya bersama skuad kebangsaan dalam tempoh empat tahun oleh jurulatih Itali, Roberto Mancini bagi aksi persahabatan antarabangsa melawan Arab Saudi, Perancis dan kemudian Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 3:20 PM