JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei ketika beraksi menentang pemain England, Rajiv Ousaph pada aksi separuh akhir kumpulan campuran di Stadium Carrara sempena Sukan Komanwel Gold Coast 2018. - Foto Yazit Razali
JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei ketika beraksi menentang pemain England, Rajiv Ousaph pada aksi separuh akhir kumpulan campuran di Stadium Carrara sempena Sukan Komanwel Gold Coast 2018. - Foto Yazit Razali
Daripada Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid


PILIHAN utama, India akan menjadi halangan terakhir skuad badminton negara bagi meraih pingat emas berpasukan campuran Sukan Komanwel apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan dalam aksi final di Kompleks Sukan Carrara, esok.

 Malaysia yang diketuai jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei akan turun dengan misi memburu emas buat kali keempat berturut-turut dalam acara itu.

 Terdahulu, skuad negara cemerlang apabila menewaskan England 3-0 dalam aksi separuh akhir sebentar tadi manakala India sebelum itu menundukkan Singapura juga dengan keputusan 3-0.

 Pemain nombor enam dunia, Chong Wei menyumbang mata kemenangan buat Malaysia apabila membenam cabaran Rajiv Ouseph 21-18, 21-16 dalam tempoh 47 minit.

 Dalam aksi pertama, beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menewaskan Chris Langridge-Marcus Ellis 21-9, 21-11 manakala Sonia Cheah menyumbang mata kedua menerusi acara perseorangan wanita hasil kemenangan ke atas Chloe Birch 21-17, 15-21, 21-18.

 Pertemuan dengan India esok boleh dianggap sebagai aksi buku bertemu ruas buat Malaysia yang memenangi emas pada edisi 2006, 2010 dan 2014.

 Pada aksi final esok India hampir pasti meraih mata dalam acara perseorangan wanita menerusi Saina Nehwal yang dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Sonia.

 Chong Wei pula berkemungkinan bertemu sama ada pemain nombor dua dunia, K Srikanth atau HS Prannoy dalam acara perseorangan lelaki.

 Berdasarkan rekod pertemuan dengan Srikanth, Chong Wei, 36, menang semua empat perlawanan sebelum ini tetapi dia tewas dalam dua pertemuan terakhir di tangan Prannoy tahun lalu.

 Beregu lelaki, V Shem-Wee Kiong dijangka tidak berdepan masalah untuk menyumbang mata tetapi beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan beregu wanita diramal berdepan persaingan sengit.

 Bagi Chong Wei, dia mahu menjadikan penampilannya di Gold Coast sebagai salah satu kenangan indah dengan dia mengesahkan ia akan menjadi penampilan terakhir pada temasya berkenaan.

 "Saya harap saya boleh capai apa yang saya mahukan di sini. Ia sesuatu yang hebat apabila beraksi di pentas final Sukan Komanwel sekali lagi selepas lapan tahun yang mana saya tidak beraksi pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland.

 "Saya ingat saya tidak akan bermain lagi selepas Olimpik Rio, tetapi saya sudah berada di sini," katanya.

 Chong Wei bagaimanapun mengingatkan rakan sepasukan betapa India bukanlah lawan yang mudah.

 "Kami perlu melakukan persiapan terbaik dan memenangi emas untuk Malaysia. Sebagai satu pasukan, kami akan cuba yang terbaik.

 "Saya pastinya akan berdepan perlawanan yang sukar bertemu Srikanth atau Prannoy. Saya akan buat yang terbaik dan menyumbang mata kepada negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 8:12 PM