PELARI pecut dunia, (tengah) ketika berlatih dengan Dortmund. FOTO/REUTERS
PELARI pecut dunia, (tengah) ketika berlatih dengan Dortmund. FOTO/REUTERS
AFP

BERLIN: Jurulatih Borussia Dortmund, Peter Stoeger berharap pasukannya dapat menangguhkan hasrat musuh lama, Bayern Munich meraikan kejayaan menjuarai Bundesliga apabila kedua-dua pasukan bertemu di Allianz Arena, esok.

Bayern memulakan cabaran minggu ini dengan jurang 17 mata di puncak liga dan kemenangan di Munich memastikan gelaran menjadi milik mereka buat kali keenam berturut-turut jika pasukan di tangga kedua, Schalke gagal meraih mata ketika menentang Freiburg.

“Rancangan kami ialah menggagalkan misi mereka berpesta selepas tamat menentang kami,” kata Stoeger.

Pengurus Bayern, Jupp Heynckes pula yakin kemenangan berpihak kepada mereka yang kali terakhir menjuarai Bundesliga di tempat sendiri pada 2005.

Pemain sayap, Arjen Robben dijangka kembali beraksi selepas tersisih dua perlawanan akibat kecederaan saraf.

Dia menjaringkan 11 gol dalam 21 perlawanan menentang Dortmund termasuk jaringan lewat pada final Liga Juara-Juara 2013 dan pemain Belanda itu dijangka sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada pertahanan lawan.

“Saya suka perlawanan besar dan selalunya sebelum ini ketika menentang Dortmund, kami adalah pemenang,” kata Robben kepada majalah Kicker.

Pertahanan tengah Bayern, Jerome Boateng mungkin tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan tumit ketika Jerman tewas kepada Brazil dalam aksi persahabatan, Selasa lalu dan pemain sayap Marco Reus, juga belum pasti beraksi akibat kecederaan.

Bagaimanapun, penyerang, Michy Batshuayi berpeluang meneruskan momentun cemerlang seperti dipamerkan ketika Belgium menewaskan Arab Saudi 4-0 di Brussels, Selasa lalu.

Pertembungan Bayern-Dortmund dianggap pertarungan dua kelab Jerman terbesar atau ‘Der Klassiker’ tetapi kedudukan kedua-dua pasukan dipisahkan 18 mata dalam liga. Jika Bayern muncul juara liga esok, mereka tetap gagal mengatasi rekod sebelum ini yang dilakukan pada 25 Mac 2014 ketika dikendalikan Pep Guardiola yang menjuarainya dengan tujuh baki perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 10:12 AM