ZAQUAN (kanan) yang menerajui skuad negara hmapir dapat cipta kejutan. -Foto fail
ZAQUAN (kanan) yang menerajui skuad negara hmapir dapat cipta kejutan. -Foto fail
Devinder Singh


PENGENDALI skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menghamburkan pujian kepada ‘generasi baharu’ skuad kebangsaan meskipun dikecewakan gol minit akhir sekali gus tewas 1-2 di tangan Lubnan pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019 di Beirut, malam tadi.

Walaupun kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk meraih kemenangan dalam 12 perlawanan, namun skuad kebangsaan memperagakan aksi jauh lebih baik berbanding ketika seri 2-2 dengan Mongolia sekali gus memberi sinar buat bola sepak negara pada masa akan datang.

Hanya jaringan Hilal El-Helwe pada masa kecederaan menafikan peluang Malaysia untuk berkongsi satu mata dan menyaksikan skuad negara menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga tercorot menerusi satu mata selepas melengkapkan enam perlawanan.

Cheng Hoe yang meletakkan kepercayaan kepada Irfan Zakaria dan Shahrul Saad untuk mengemudi pertahanan tengah mengakui anak buahnya beraksi dengan baik walaupun ada antaranya dipanggil pada saat akhir susulan ‘pengguguran’ 12 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Untuk beraksi buat kali pertama selepas hanya berlatih selama tiga hari, pemain saya memberikan persembahan yang sungguh mengagumkan,” kata Cheng Hoe.

“Pujian harus diberikan kepada pemain kerana mereka sudah memberikan yang terbaik. Kita tahu Lubnan jauh lebih baik berbanding kita. Tapi inilah generasi baharu skuad kebangsaan.”

Lubnan yang menghuni ranking ke-87 dunia dijangka menang mudah ke atas Malaysia yang menghuni ranking ke-178 dunia selepas mendahului permainan seawal minit ke-19 menerusi jaringan penalti kapten Hassan Maatouk.

Bagaimanapun, Malaysia yang diterajui Zaquan Adha Radzak mengejutkan tuan rumah apabila menguasai permainan selepas ketinggalan yang menyaksikan percubaan Matthew Davies terkena palang.

Syafiq Ahmad meledak gol penyamaan pada minit ke-72, empat minit selepas dimasukkan selaku pemain gantian untuk gol antarabangsa pertamanya dalam tiga penampilan.

Bagaimanapun, Malaysia yang dipaksa untuk bertahan akhirnya tunduk selepas El-Helwe meledak gol kemenangan sekali gus menafikan hasrat pelawat untuk meraih satu mata.

“Saya harap situasi ini dapat dijadikan pengajaran supaya kekal fokus sepanjang 90 minit,” kata Cheng Hoe selepas Lubnan turut meledak gol lewat permainan sebelum menang 2-1 pada aksi pertama di Larkin, tahun lalu.

“Pada masa sama, saya juga mahu pemain kekal konsisten pada masa akan datang. Mereka masih muda dan memerlukan banyak lagi pendedahan untuk meraih pengalaman.”

Davies dan Mahali Jasuli muncul dua pemain yang dikekalkan daripada aksi terdahulu dengan Cheng Hoe meletakkan Akhyar Rashid, Akram Mahinan serta Ariff Farhan Isa dalam kesebelasan utama sebelum turut memberikan penampilan pertama kepada R Kogileswaran.

Malaysia akan menentang Bhutan, pasukan ranking ke-188 dunia, bagi satu lagi aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini dengan misi untuk meraih kemenangan pertama dalam tempoh 16 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 6:23 PM