AIMAN (tengah) bersama arwah  bapanya Raimi Jamil dan ibunya Rinawati Halan. FOTO/ MALIK MUHAMAD
AIMAN (tengah) bersama arwah bapanya Raimi Jamil dan ibunya Rinawati Halan. FOTO/ MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: “Sebelum ayah meninggal dunia, dia ada pesan jika nak main bola perlu lebih hebat daripadanya jika mahu melangkah lebih jauh dalam arena bola sepak,” kata Mohammad Aiman Haziq, 13.

Anak bongsu legenda bola sepak negara, Allahyarham Mohd Raimi Mohammed Jamil itu kini sedang belajar di tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Nenas (SMKBN), Setiu atau lebih dikenali sebagai Sekolah Sukan Terengganu.

Katanya, arwah bapa mencabarnya mengikut jejak langkah dengan pernah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Aiman yang bercita-cita menjadi penjaga gol nombor satu negara berkata, arwah ayahnya juga sempat berpesan jika mahu berjaya dia perlu kuatkan semangat dan jangan malas berlatih sebaliknya kerap menjalani latihan serta jangan cepat putus asa.

“Selain itu arwah ayah pesan jika nak berjaya dalam apa jua bidang kita jangan ikut orang yang mengajak ke arah yang tidak baik, jangan sombong, perlu berdisplin serta ikut resmi padi makin berisi makin tunduk.

“Arwah juga mahukan saya menjadi anak yang baik kepada semua orang bukan hanya kepada keluarga serta tidak menganiaya dan menindas orang lain walaupun satu hari nanti nama menjadi sebutan ramai,” kata Aiman yang memiliki ketinggian 1.59 meter.

Pencapaian Aiman setakat ini ialah pernah mewakili Terengganu dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Pahang musim lalu selain mewakili sekolah dalam pertandingan catur dan hoki.

“Saya tidak mahu menumpang kehebatan arwah ayah yang pernah mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia, tapi saya akan berusaha gigih untuk menjadi penjaga gol lebih hebat daripadanya,” kata Aiman.

Jumaat lalu bapanya yang mencipta nama sebagai penjaga gol hebat ketika mewakili Terengganu era 80-an menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur selepas bertarung nyawa selama 11 hari susulan pembedahan pintasan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 12:23 PM