PEMAIN tengah England, Jack Wilshere berpendapat melepasi peringkat kumpulan pada Piala Dunia satu pencapaian baik.
PEMAIN tengah England, Jack Wilshere berpendapat melepasi peringkat kumpulan pada Piala Dunia satu pencapaian baik.

BURTON-ON-TRENT, England: Pemain tengah England, Jack Wilshere cuba mengendurkan harapan pada Piala Dunia namun percaya kejohanan di Russia itu boleh menjadi batu loncatan bagi masa depan lebih cerah buat pasukan kendalian Gareth Southgate yang kurang pengalaman.

Pemain Arsenal itu berharap dapat meraih penampilan pertamanya dalam hampir dua tahun pada perlawanan persahabatan pemanas badan menentang Belanda dan Itali selepas berjuang merebut tempatnya semula dalam pasukan Arsene Wenger musim ini.

Skuad yang disertai Wilshere itu jauh berbeza daripada skuad yang mana dia kali pertama tampil sebagai pemain berbakat ketika berusia 18 tahun pada 2010.

Kehilangan penyerang terbilang Harry Kane kerana kecederaan, skuad 27 pemain Southgate terdesak berikutan hanya mempunyai beberapa pemain yang sering beraksi di peringkat tertinggi.

“Ia terlalu berbeza. Saya masih ingat kali pertama saya menyertai skuad England, saya pergi makan malam buat kali pertama dan di sana ada (Wayne) Rooney, (Frank) Lampard, (Steven) Gerrard, (Rio) Ferdinand, (John) Terry – pemain ternama yang saya saksikan sejak kecil,” kata Wilshere di pusat latihan England, semalam.

“Ia satu perasaan berbeza sekarang. Lebih ramai pemain muda, saya fikir lebih kepada kumpulan dan perancangan bagi masa depan.”

Penampilan terakhir Wilshere dalam jersi England sesuatu yang enggan diingati ketika pasukan kendalian Roy Hodgson dimalukan Iceland 1-2 pada Euro 2016 sekali gus meneruskan penantian lama England meraih kemenangan pertama pada peringkat kalah mati kejohanan utama, yang tidak dicapai mereka sejak 2006.

Lantaran dia berasakan harapan yang besar tidak boleh disandarkan kepada skuad muda itu, di sebalik keputusan cemerlang pada kejohanan peringkat remaja. Skuad B-20 dan B-17 England menjuarai Piala Dunia tahun lalu.

“Piala Dunia satu kejohanan besar buat kami dan kami mahu bertindak baik. Kami tidak mahu menetapkan sebarang sasaran tapi saya fikir melepasi peringkat kumpulan pada Piala Dunia satu pencapaian baik,” katanya.

“Jika anda lihat beberapa tahun lalu, terutama Rio (sebelum Piala Dunia 2014), kami amat berkeyakinan menghadapinya tapi ia tidak menjadi seperti diharapkan. Dengan kelompok pemain ini, ia pasti tidak adil.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 12:09 PM