Morais gembira dengan prestasi pasukan dan reaksi Fadhli Shas meraikan jaringan menentang PKNP FC bersama Pereyra. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BERNAMA
Morais gembira dengan prestasi pasukan dan reaksi Fadhli Shas meraikan jaringan menentang PKNP FC bersama Pereyra. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BERNAMA
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta’zim (JDT) enggan mendabik dada selepas melakar kemenangan kedua berturut-turut menewaskan PKNP FC 3-0 pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Keputusan itu membolehkan JDT menduduki tangga teratas Liga Super.

Pengendali JDT, Ulisses Morais mengakui berdepan kesukaran menjinakkan skuad kendalian Abu Bakar Fadzim yang mengamalkan corak permainan bertahan di bahagian tengah sehingga menjejaskan gerakan barisan pemain JDT.

Katanya, hanya penghujung babak pertama barulah mampu memecah kebuntuan jaringan hasil gerakan `set piece’ yang memerangkap benteng pertahanan lawan menyaksikan Jorge Pereyra Diaz mencipta gol.

“Kami perlu menanti saat yang terbaik untuk menjaringkan gol dan saya akui agak sukar menembusi benteng lawan tatkala mereka beraksi dengan corak bertahan dan kerap menyekat asakan JDT.

“Pada aksi babak pertama, kami ada sekurang kurangnya dua dan tiga percubaan terbaik namun gagal melakukan penyudah namun kami tetap berusaha dan kerjasama berpasukan yang dibentuk membuahkan hasil.

“Dua aksi yang kami lalui selepas menewaskan Kedah 2-1 dan PKNP 3-0 agak mencabar kerana dua pasukan itu cuba menewaskan JDT tetapi pemain tampak begitu tenang dan beraksi tanpa tekanan,” katanya.

Mengulas mengenai penampilan pertama Adam Nor Azlin beraksi penuh dalam perlawanan itu, Morais tampak gembira dengan komitmen pemain Bawah 23 Tahun (B-23) negara yang tidak kekok bergandingan bersama Mohd Fadhli Shas di posisi pertahanan.

Beliau berkata, Adam mampu menjadi pemain pertahanan terbaik sekiranya corak permainan konsisten dikekalkan dan harus belajar mengetahui lebih mendalam cara pemain pertahanan beraksi.

“Adam merupakan pemain berbakat dan dia tampak tidak kekok mengemudi benteng bersama Fadhli dan saya gembira dengan corak permainannya walaupun pertama kali beraksi selepas pulang dari China.

“Bukan Adam sahaja, saya juga akan melakukan penggiliran pemain untuk beraksi dalam perlawanan liga dan ia bergantung pasukan mana yang kita menentang kerana perancangan taktikal yang ampuh menjadi keutamaan dalam setiap aksi yang akan diharungi,” kata Morais.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 11:50 AM