GOL tunggal perlawanan jaringan Mawson. -Foto Reuters
GOL tunggal perlawanan jaringan Mawson. -Foto Reuters
Reuters

SWANSEA: Liverpool yang menduduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada pasukan tercorot Swansea City yang menampilkan aksi bertahan sepanjang separuh masa kedua selepas mendahului menerusi pertahanan mereka Alfie Mawson di Stadium Liberty awal pagi tadi.

Swansea berada di depan lima minit sebelum tamat separuh masa apabila cubaan pertahanan termahal Liverpool Virgil Van Dijk mengeluarkan bola jatuh ke kaki Mawson yang pantas meledak gol untuk jaringan liga keenamnya musim ini.

Van Dijk, yang beraksi dalam perlawanan liga pertamanya sejak meninggalkan Southampton, sebelum itu gagal menanduk sempurna sepakan sudut pada separuh masa pertama manakala Mohamed Salah gagal menyempurnakan sepakan pertahanan Belanda itu yang melepasi palang selepas setengah jam perlawanan.

Liverpool meningkatkan tempo mereka pada separuh masa kedua, mendominasi penguasaan bola dan menyerang dari pelbagai sudut dan tandukan saat akhir Roberto Firmino turut tidak menjadi, namun Swansea terus bertahan untuk melakar kemenangan kelima mereka musim ini.

Liverpool tidak pernah tewas dalam 18 perlawanan, selepas berjaya menamatkan rekod tanpa kalah pendahulu liga Manchester City, namun gagal mencari jawapan ketika berdepan pertahanan kental lawan.

Kekalahan itu menyebabkan Reds mengumpul 47 mata, tiga mata di belakang Chelsea dan enam berbanding Manchester United, manakala Tottenham Hotspur dua mata dari kelompok empat teratas selepas seri dengan Southampton semalam.

Manchester City terus mendahului dengan 65 mata daripada 24 perlawanan.

“Saya beritahu pemain saya: Liverpool pasukan yang kuat. Seperti sebuah kereta Formula 1,” kata pengurus SwanseaCarlos Carvalhal selepas kemenangan itu yang membolehkan mereka berkongsi 20 mata dengan pasukan kedua tercorot West Bromwich Albion dan tiga mata dari zon selamat.

“Jika anda letakkan kereta F1 dalam kesesakan trafik di London pada jam 4 petang, kereta F1 itu tidak boleh dipandu laju. Itulah yang perlu kami lakukan. Biar mereka bermain dalam suasa yang mereka tidak suka.”

Rancangan itu nampak menjadi apabila pasukan pelawat bergelut mencari jalan berdepan pertahanan Swansea pada separuh masa pertama. Van Dijk dilhat cukup bersedia tetapi kekurangan pergerakan didepannya mengehadkan pilihannya ketika cuba mengeluarkan bola dari zon pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 7:48 AM