TUNKU Ismail persoalkan mana pemain JDT dalam ABK 2017.
TUNKU Ismail persoalkan mana pemain JDT dalam ABK 2017.
Aziman Rosdi


MANA pemain Johor Darul Ta’zim (JDT)? Itu persoalan yang dilontarkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempersoalkan apabila tiada pemain daripada skuad Harimau Selatan itu tersenarai bagi Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2017 yang bakal berlangsung 22 Disember ini.

Beliau yang juga pemilik kelab JDT seperti hairan apabila kejayaan yang dicapai pemain skuad kendalian Ulisses Morais itu seperti tidak diiktiraf biarpun merangkul gelaran Liga Super empat tahun berturut-turut dan Piala Malaysia tahun ini.

“Saya nak dedahkan satu maklumat untuk menunjukkan bola sepak di Malaysia bukan dinilai berdasarkan fakta, tapi emosi, kebencian dan cemburu.

“Saya dapat maklumat, Anugerah Bolasepak Kebangsaan, logik ke saya tanya, ini hak masing-masing, ini bukan pasal JDT, ini soalan terbuka, masing-masing boleh nilai.

“Logik ke tidak, dalam anugerah ini JDT menang sembilan piala dalam masa empat tahun, tahun ini menang Liga Super dan Piala Malaysia, logik ke tidak kalau satu (seorang pemain) tak tersenarai langsung.

“Ini kerana ada beberapa pihak media, penyokong, jurulatih dan pihak lain yang undi,” katanya dalam sidang media khas semalam.

 DAVIES (kanan) Pemain Pertahanan Terbaik ABK 2017.
DAVIES (kanan) Pemain Pertahanan Terbaik ABK 2017.

Tunku Ismail berkata, ada beberapa calon pemenang dilihat tidak setara dengan pencapaian musim ini.

“Pemain Pertahanan Terbaik, Matthew Davies. Saya tidak ada masalah dengan dia, dia pemain yang baik, profesional tapi saya nak tanya apa Matthew Davies menang dalam masa dua tahun? Kosong!...S Kunanlan trofi Liga Super dan Piala Malaysia tahun ini.

“Jumlah kehadiran penyokong ke stadium adalah JDT, pemenang Anugerah Penyokong Terbaik Kedah. Anugerah Pemain Tengah Terbaik, Baddrol Bakhtiar. Pada saya, 50-50...Baddrol dan Natxo Insa, tapi tak mengapa,” katanya.

Tunku Ismail bagaimanapun mengakui bersetuju dengan beberapa keputusan pemenang calon kategori lain.

“Pemenang Penjaga Gol Terbaik, penjaga gol Perak (Muhammad Hafizul Hakim), OK saya setuju dia beraksi baik. Pemenang Penyerang Terbaik Tempatan Shahrel Fikri dari PKNP, saya setuju. Jurulatih Terbaik, jurulatih Kedah (Nidzam Adzha Yusoff) tak ada masalah, beliau melakukan tugas dengan baik,” jelasnya.

Tahun lalu, pemain JDT, Safiq Rahim memenangi anugerah Pemain Tengah Terbaik buat kali kedua berturut-turut dan Pemain Paling Bernilai 2015 selain bekas jurulatihnya, Mario Gomez diangkat sebagai Jurulatih Terbaik.

Penjaga gol Farizal Marlias dan pemain pertahanan Aidil Zafuan Abd Radzak turut merangkul gelaran pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 9:48 PM