SERENA bakal berkahwin dengan Ohanian.
SERENA bakal berkahwin dengan Ohanian.
AFP

WASHINGTON: Bintang tenis, Serena Williams dikatakan bakal mengadakan majlis perkahwinannya hari ini.

Artis terkenal seperti Beyonce dan Jay Z, di samping pelakon Eva Longoria adalah antara senarai utama yang dilaporkan berada di New Orleans bagi perkahwinan Williams dengan pengasas bersama Reddit, Alexis Ohanian.

Akhbar People dan The Daily Mail memetik sumber yang enggan dinamakan, memberitahu lebih kurang 250 tetamu dijemput bagi menghadiri majlis di Contemporary Arts Center di Big Easy.

The Daily Mail melaporkan perancang majlis perkahwinan itu melakukan secara rahsia dan tetamu tidak diberikan maklumat sehinggalah pagi Khamis (waktu tempatan).

Kos perbelanjaan acara itu dikatakan lebih daripada AS$1 juta (RM4.18 juta) dan semua tetamu tidak dibenarkan membawa telefon bimbit kerana perjanjian gambar eksklusif diberikan kepada majalah Vogue.

Williams, 36, juara Grand Slam 23 kali, dan Ohanian, 34, baru menimang anak perempuan, Alexis Olympia pada 1 September.

Mereka mengumumkan pertunangan pada Disember 2016 selepas pertemuan pada 2015 di Rome.

Williams memenangi Terbuka Australia tahun ini ketika sedang mengandung dan dijangka akan mengekalkan kejuaraannya di Melbourne tahun depan - hanya empat setengah bulan selepas melahirkan anak sulungnya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 12:36 PM