Nazri Abu Bakar


BEKAS pemain kebangsaan Khalid Ali (gambar) meramalkan skuad negara bakal berdepan kesukaran untuk mengatasi Korea Utara pada dua aksi kelayakan Piala Asia 2019  di Stadium I-Mobile, Buriram Thailand pada Jumaat dan Isnin ini.

Menurutnya, kualiti pasukan negara dan Korea Utara nyata masih jauh berbeza, namun hanya keyakinan, komitmen dan kesungguhan sahaja mampu untuk memadam kelebihan skuad lawan.

Katanya, dia seperti peminat bola sepak negara lain yang sentiasa mengharapkan keajaiban buat Harimau Malaya mengatasi lawan, walaupun berdepan ujian getir untuk mengecewakan skuad terbabit.

Baginya, sedikit kelebihan beraksi di gelanggang berkecuali seharus digunakan anak buah jurulatih Nelo Vingada untuk berdepan Korea Utara, sekali gus menghidupkan peluang mara ke pusingan akhir Piala Asia 2019 yang bakal berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Saya pernah beraksi menentang Korea Utara lebih 40 tahun lalu di Iran. Ketika itu saya mewakili pasukan belia Malaysia dan paling manis turut membantu melakar kejayaan mengatasi skuad berkenaan.

“Ia saingan yang menarik buat saya dan skuad muda negara ketika itu. Kemenangan itu diharap mampu diulangi skuad Harimau Malaya di Thailand kelak walaupun barisan pemain dan zaman sudah jauh berbeza,”katanya.

Malah baginya, rekod Malaysia yang pernah menang keatas skuad terbabit sekali gus meraih gangsa sukan Asia Tehran 1974 seharusnya menjadi pembakar semangat pemain untuk memberikan yang terbaik.

Khalid berkata, penyertaan pemain muda satu pendedahan yang positif buat masa depan pasukan utama negara dan seharusnya digunakan sebaik mungkin buat mereka menimba pengalaman berharga.

Namun baginya,  setakat menimba pengalaman sahaja tidak mencukupi sebaliknya mereka harus memberi tentangan habis -habisan untuk menafikan kekuatan skuad berkenaan yang dilihat memiliki barisan yang mantap.

Legenda bola sepak Malaysia dan Selangor itu berkata, dalam bola sepak semuanya boleh berlaku, justeru usaha harus melebihi daripada harapan dan impian semata-mata dan jangan mengalah selagi aksi 90 minit belum berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 11:46 AM