MELAKA 28 OKTOBER 2017. Pemain Melaka United, R Surendran (kiri) menghalang kemaraan pemain Kelantan, Mohamad Azwan Mohd Aripin (kanan) pada Perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Hang Jebat, Krubong. NSTP/ RASUL AZLI SAMADRASUL AZLI SAMAD
MELAKA 28 OKTOBER 2017. Pemain Melaka United, R Surendran (kiri) menghalang kemaraan pemain Kelantan, Mohamad Azwan Mohd Aripin (kanan) pada Perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Hang Jebat, Krubong. NSTP/ RASUL AZLI SAMADRASUL AZLI SAMAD
Nazri Abu Bakar


KAPTEN Melaka United (MU) R Surendran mengesahkan hampir pasti menyambung kontrak bersama pasukan terbabit pada saingan Liga Malaysia musim depan namun keputusan akhir hanya diketahui minggu ini.

Menurutnya, dia amat berpuas hati dengan prestasi keseluruhan musim ini apabila membantu pasukan kekal di Liga Super walaupun pada awal saingan kedudukan Melaka United tidak menentu. Beliau berkata, sokongan jurulatih, pengurusan dan peminat berjaya meletakkan MU berada di kelompok pertengahan liga dan mengharapkan skuad terbabit lebih mantap tahun depan.

“Musim depan saya mengharapkan sekurang-kurangnya satu piala menjadi milik skuad Hang Tuah yang amat dahagakan kejayaan yang selama ini amat dinanti peminat dan penyokong setia. “Apapun, saya yakin skuad baru akan menampilkan persembahan lebih berbisa menerusi kehadiran muka baru yang dikenali di Liga Malaysia selain penampilan semula beberapa pemain terbaik musim ini,”katanya yang bersama skuad Hijau Putih sejak 2016.

Bekas pemain Pahang 2008-2015 itu berkata, dia juga belum mengetahui siapakah pemain baru yang bakal hadir bersama skuad terbabit walaupun terdapat ura-ura beberapa nama besar akan menyarung jersi skuad berkenaan. Malah dia juga enggan mengesahkan mana-mana pemain utama MU yang kekal bersama skuad itu, namun pemilihan jurulatih dan pengurusan untuk kebaikan pasukan terbabit. Sebelum ini, pengurusan pasukan MU memberi kuasa pemilihan pemain di bahu ketua jurulatih Eduardo Almeida dalam memastikan skuad terbabit mampu mencabar di pentas Liga Malaysia musim depan.

Pendekatan terbabit sebagai memberi kuasa lebih besar kepada pengendali menentukan barisan pilihannya selepas cemerlang memenuhi sasaran meletakkan pasukan kekal di Liga Super dan mara ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.Malah Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) hanya mengikat pengendali terbabit untuk jangka masa semusim dan jika cemerlang tidak mustahil kontraknya akan disambung 2019 kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 5:52 PM