HAFIZH (kanan) dan Kasma sedia gegar Litar Sepang. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
HAFIZH (kanan) dan Kasma sedia gegar Litar Sepang. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Oleh Sukhairi Thani


PEMEGANG tiket wild card di Grand Prix (GP) Shell Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin mengakui dirinya mempunyai pengalaman terhad di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) namun sudah bersedia untuk mempamerkan kemampuannya di hadapan penyokong tempatan, minggu ini.

Beraksi dalam kelas Moto3, pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu jelas gembira apabila diberi peluang beraksi di perlumbaan berprestij itu yang baginya medan terbaik bagi mengumpul pengalaman berharga untuk dibawa ke kejohanan disertainya, Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia CEV Repsol.

“Sudah tentu saya akan melakukan yang terbaik dan mengumpul seberapa banyak ilmu di sini. Saya mempunyai pengalaman terhad di SIC dan tidak pernah berlumba dalam kelas Moto3 di sini sebelum ini.

“Apapun, saya akan cuba yang terbaik di sini. Saya akan cuba melihat corak pelumba tempatan kita dan meningkatkan usaha saya. Saya pasti pasukan akan sentiasa berada di belakang saya dan memberi sokongan.

“Sudah tentu, pengalaman di sepanjang minggu ini akan memberi saya satu cabaran dan pengalaman yang baharu.”

Bermula esok, Kasma bersama tiga lagi pelumba musim penuh negara di Kejuaraan Motosikal Dunia, Hafizh Syahrin Abdullah,

Khairul Idham Pawi dalam kelas Moto2 dan Adam Norrodin (Moto3) dijadual menghangatkan litar Sepang.

Tumpuan kali ini tentunya ke arah pelumba PETRONAS Raceline, Hafizh yang sebelum ini berjaya meraih dua penamat di pentas podium di GP San Marino dan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 12:50 PM