DURAKOVIC (kiri) kini bimbing Perak. FOTO/ABDULLAH YUSOF
DURAKOVIC (kiri) kini bimbing Perak. FOTO/ABDULLAH YUSOF
Azlan Muhammad Zain


“SAYA ingin melahirkan pemain bola sepak yang bijak dan mempunyai masa depan cemerlang selepas karier di padang berakhir.”

Demikian luahan bekas legenda Selangor, Mehmet Durakovic sempena majlis pelancaran dan memorandum persefahaman (MOU) antara Mehmet Football Academy (MFA) dan Universiti Selangor (UNISEL) semalam.

Durakovic merintis jalan untuk melahirkan lebih ramai pemain bola sepak bijak dan mempunyai latar belakang pendidikan cemerlang dengan membuka akademi MFA dengan kerjasama UNISEL.

Durakovic yang pernah memimpin pasukan Selangor meraih pelbagai kemenangan termasuk juara Piala Malaysia tiga kali berturut-turut sejak 1995 menjelaskan idea menubuhkan MFA bertujuan memperjuangkan masa depan pemain bola sepak.

“Sering kali anda dengar pemain melarat selepas karier bola sepak mereka berakhir. Jadi saya tubuhkan akademi ini untuk memastikan pemain bola sepak mempunyai sekurang-kurangnya diploma,” katanya.

Pemain yang terpilih akan melanjutkan pengajian dalam bidang Diploma Pengurusan Industri Sukan (Pengurusan Bola Sepak) di UNISEL selama tiga tahun.

Durakovic menjelaskan pemain bola sepak sebenarnya mempunyai banyak masa terluang untuk meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan yang boleh menjamin masa depan mereka.

“Pemain bola sepak sebenarnya banyak masa lapang. Mereka hanya mula berlatih pada sebelah petang. Jadi apa salahnya kalau mereka menyambung pengajian dalam bidang diploma atau ijazah yang boleh digunakan selepas karier bola sepak sudah berakhirnya,” ujar jurulatih Perak itu.

Beliau turut meminta pemain bola sepak mengikut jejak langkah jurulatih Arsenal, Arsene Wenger yang mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang ekonomi daripada University of Strasbourg; Steve Coppell, Glen Johnson dan Clark Carlisle.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 9:28 PM