GAVIN mahu tamatkan saingan CIMB Classic di kedudukan terbaik.
GAVIN mahu tamatkan saingan CIMB Classic di kedudukan terbaik.
Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Pemain golf negara, Gavin Green mengetuai senarai bintang Jelajah Asia yang akan mencabar kejuaraan saingan CIMB Classic di lapangan TPC Kuala Lumpur, Khamis ini.

Pemain nombor satu Jelajah Asia itu akan disertai oleh juara Order of Merit, Scott Hend dari Australia, David Lipsky (Amerika Syarikat) dan S S P Chawrasia (India) dalam saingan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$7 juta (RM29.65 juta) itu.

Saingan turut bertambah rancak dengan penyertaan kali pertama barisan sensasi muda Thailand Phachara Khongwatmai, Poom Saksansin dan Jazz Janewattananond di samping Prayad Marksaeng, Juvic Pagunsan (Filipina) dan Richard T Lee (Kanada).

Gavin, 23, pasti mahu menamatkan saingan CIMB Classic di kedudukan terbaik dalam usahanya mengukuhkan penguasaan ranking nombor satu dalam Jelajah Asia sekali gus muncul pemain Malaysia pertama menjuarai carta Order of Merit.

“Beraksi di CIMB Classic kali ini lebih istimewa kerana hadiah kemenangan termasuk dalam carta Order of Merit.

HEND pasti beri cabaran sengit dalam saingan CIMB Classic.
HEND pasti beri cabaran sengit dalam saingan CIMB Classic.

Saya sudah mengubah sasaran sejak kejayaan di India (Terbuka Hero India, Februari lalu) dan lebih banyak menumpukan kepada pemburuan carta Order of Merit,” katanya yang akan membuat penampilan kedua di CIMB Classic.

Hend pula pasti berharap insiden keracunan makanan pada edisi lalu tidak menimpanya kali ini selepas permulaan perlahan pada hari pertama menyebabkan dia hanya berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan ketujuh keseluruhan.

Keputusan terbaik pemain Australia itu pada tahun ini adalah meraih tempat kedua pada Masters Eropah Omega yang menyaksikan dia tewas dalam pertarungan play-off.

Lain pula bagi bintang muda Thailand, Poom yang masih segar dengan kejayaan memenangi saingan di India, Ogos lalu apabila begitu teruja untuk membuat penampilan sulung di CIMB Classic.

“Saya pada awalnya tidak begitu yakin mampu melayakkan diri ke saingan ini, tetapi nasib baik saya beraksi baik beberapa bulan terakhir ini untuk meraih slot ini. Saya akan mencuba yang terbaik seperti di kejohanan lain,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Barisan 10 pemain yang menghuni ranking terbaik carta Order of Merit Jelajah Asia sehingga hari ini secara automatik layak ke saingan CIMB Classic, yang menjadi satu-satunya kejohanan di Asia Tenggara diiktiraf Jelajah PGA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 5:17 PM