NEYMAR (gambar kecil) label Bartomeu sebagai pelawak. -Foto Agensi
NEYMAR (gambar kecil) label Bartomeu sebagai pelawak. -Foto Agensi
AFP

BARCELONA: Neymar melabel presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu sebagai “pelawak” ketika perang kata-kata antara ahli lembaga pengarah Barca dengan bintang Brazil itu berterusan semalam.

Dalam satu temu ramah dengan akhbar Catalunya, Mundo Deportivo dan Sport, Bartomeu mendakwa Barca pasti lebih bagus tanpa Neymar musim ini berikutan perpindahan dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion) pemain Brazil itu ke Paris Saint-Germain.

Ketika cara Bartomeu menangani polisi perpindahan Barca dikritik hebat, beliau menganggap kehilangan Neymar sebagai “peluang” buat Barca membentuk semula bahagian tengah mereka dan tidak terlalu bergantung kepada rangkaian tiga serangan Neymar, Lionel Messi dan Luis Suarez.

“Rangkaian tiga pemain itu bagus tapi ia ada kesannya,” kata Bartomeu.

“Ia satu peluang untuk kembali kepada permainan bola sepak kolektif di bahagian tengah yang menjadi tradisi kekuatan Barca.

“Ia satu peluang dengan jurulatih baru, projek baru. Kami perlu berhenti daripada menjadi pesimistik!”

Bartomeu turut mengkritik strategi Neymar dan bapanya yang juga ejen pemain itu Neymar Sr.

“Presiden ini amat kelakar,” balas Neymar dalam komen mengenai berita itu dalam laman sosial Instagram.

Undi tidak percaya dilancarkan oleh bekas calon presiden Barca, Agusti Benedito yang mungkin menyaksikan Bartomeu disingkir sekiranya mendapat cukup sokongan daripada ahli kelab dalam beberapa minggu akan datang.

Pemergian Neymar menyebabkan Barca berbelanja sakan apabila membeli pemain sayap Perancis, Ousmane Dembele, 20, dengan harga awal 105 juta euro (RM531 juta) dari Borussia Dortmund dan Paulinho dengan harga 40 juta euro (RM202 juta) dari kelab China, Guangzhou Evergrande.

Namun mereka gagal mendapatkan pemain sasaran utama Philippe Coutinho dari Liverpool, yang diharap mengisi kekosongan ditinggalkan Neymar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 11:42 AM