KHAIRUL tekad mahu buat larian terbaik.
KHAIRUL tekad mahu buat larian terbaik.
BERNAMA

TREK mondo di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sama dengan trek semasa Usain Bolt mencatat rekod Olimpik 9.63 saat di London 2012 dan tiga gelaran berturut-turut di Rio de Janeiro, bakal meningkatkan tahap keterujaan dalam saingan acara pecut Sukan SEA.

Trek baru berwarna biru itu, sama seperti di Rio, terbukti membawa tuah kepada pelari pecut kebangsaan Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 20.90s dalam acara 200m pada Terbuka Malaysia, memecahkan rekod kebangsaan 20.92s dipegang hampir separuh abad oleh Tan Sri Dr M Jegathesan pada Olimpik Mexico 1968.

Pada temasya dwitahunan itu di Singapura sebelum ini, enam rekod dicipta dalam acara balapan tetapi tiada dalam acara pecut dengan bintang Filipina, Eric Cray dan Kayla Richardson masing-masing menjulang gelaran 100m lelaki dan wanita manakala acara 200m menjadi milik Le Trong Hinh dari Vietnam dan Shanti Pereira dari Singapura.

Khairul Hafiz, 19, jelas menyukai trek itu dan begitu teruja untuk membuat penampilan pertama di Sukan SEA sekali gus memberi cabaran kepada pesaingnya termasuk Cray dan pelari pecut Thailand, Jirapong Meenapra yang menjuarai 100m pada 2013.

“Trek ini amat baru dan sama taraf macam trek di luar negara yang digunakan untuk kejohanan peringkat antarabangsa dan lebih bagus serta selesa berbanding trek lama.

“Saya rasa trek ini amat bagus untuk mencatat masa terpantas. Saya harap buat yang terbaik untuk Sukan SEA kali ini dengan hasil doa rakyat Malaysia,” katanya hari ini.

Pelari pecut kelahiran Melaka itu juga pemegang rekod 100m kebangsaan 10.18s. Catatan terbaik Cray, pelari keturunan Filipina-Amerika adalah 10.25s pada Sukan SEA Singapura manakala catatan terpantas Jirapong 10.31s.

Kali terakhir atlet Malaysia memenangi gelaran 100m lelaki adalah pada 2003 menerusi Nazmizan Muhammad dengan catatan 10.48s di Hanoi.

Jurulatih acara pecut M Balamurugan berkata, anak buahnya selesa dengan trek baru itu dan mereka yakin mampu melakukan yang terbaik.

Acara olahraga dijadual berlangsung dari 22 hingga 26 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 2:20 PM